• Program Diploma Untuk JKKK

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+

    Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menawarkan dua program pendidikan diploma kepada pemimpin dan pelapis dalam institusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi meningkatkan tahap profesionalisme mereka bermula tahun ini.

    Selain JKKK dan JKKK Persekutuan (JKKP), dua program iaitu Diploma Eksekutif Pembangunan Luar (DEPLB) yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM) dan Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar) dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut ditawarkan kepada JKKK Orang Asli (OA).

    Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata, bagi tahun ini 140 tempat ditawarkan bagi mengikuti DEPLB, selain 20 tempat lagi melalui Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar).

    "Kita mahu tahap profesionalisme JKKK, JKKKP dan JKKKOA ditingkatkan setaraf dengan pegawai kerajaan lain dalam memimpin kawasan kampung masing-masing, berikutan tugas mereka akan menjadi lebih penting pada masa depan.

    "Ini kerana kita mahu menyerahkan kepada JKKK, JKKKP dan JKKKOA dari segi melaksanakan segalanya (tugas berkaitan)... selain menjadi 'mata dan telinga' kerajaan, mereka juga harus memantau projek yang kita jalankan.

    "Sehubungan itu kita menawarkan dua program diploma ini. Sehingga kini kita dimaklumkan ada 78 pemimpin dalam ketiga-tiga kategori itu yang sudah berdaftar," katanya ketika berucap sempena Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UniKL Zon Utara yang dihadiri 600 pemimpin JKKK, JKKKP dan JKKKOA, hari ini.

    Pada majlis itu, Ismail Sabri menyampaikan sijil kepada 20 penerima yang berjaya menamatkan kursus pada tahun 2017 bagi Zon Utara.

    Sepanjang tahun lalu, 4,127 kepimpinan JKKK, JKKKP dan JKKKOA daripada seluruh negara mengikuti program sijil itu yang dilatih INFRA dengan kerjasama UniKL dan tahun ini, kementerian menyasarkan 5,000 lagi pemimpin dalam kategori sama untuk mengikuti program Sijil Tadbir Urus Desa.

    Ismail Sabri berkata, bagi DEPLB tempoh pengajian adalah selama dua bulan membabitkan kos pengajian RM4,800 dengan peserta yang berkelayakan akan mendapat pembiayaan penuh.

    "Bagi Diploma Pengurusan dan Pembangunan Desa (Luar Bandar) pula tempoh pengajian dari setahun setengah hingga dua tahun dengan kos pengajian berjumlah RM28,000 dengan 30 peratus kos dibiayai kementerian," katanya.

    Sementara itu, peserta Sijil Tadbir Urus Desa, Shah Abdul Latiff, 47, yang juga Pengerusi JKKKP Desa Putera di Bayan Baru, Pulau Pinang, berkata, melalui program selama tiga hari itu, beliau diberikan pendedahan untuk mengkoordinasi kawasan dipimpinnya supaya dapat membuat penambahbaikan berdasarkan situasi geopolitik kini.

    "Kami juga diberi pendedahan mengatur dana daripada kementerian dengan baik, selain diajar untuk membuat permohonan dan penilaian untuk menambahbaik infrastruktur awam di kampung," katanya yang menyertai institusi JKKKP sejak 2013.

    Pengerusi JKKKOA Kampung Tangkai Chermin di Batu Gajah, Jasmi Che Dun, berkata melalui program ini, beliau dapat meningkatkan kemahiran komunikasi selain didedahkan dengan penggunaan teknologi maklumat.

    "Masyarakat kami dikaitkan dengan rasa rendah diri, jadi melalui program ini ia dapat membina jati diri yang baik, " katanya yang sudah dua tahun memimpin kira-kira 455 komuniti di kampungnya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Program Diploma Untuk JKKK "