• PPBM Tidak Mahu Tanding Di Sabah, Sarawak - Azmin

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+
    SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak untuk bertanding di Sabah dan Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

    Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jika dicampur kedua-dua negeri itu, PKR mempunyai kerusi Parlimen paling banyak bakal ditandingi pada PRU-14 berbanding tiga lagi sekutunya dalam pakatan pembangkang.

    "PPBM enggan bertanding di Sabah dan Sarawak. Mereka mahu bertanding di kerusi dimenangi UMNO saja (di Semenanjung).

    "Saya menggalakkan mereka ke Sabah (yang juga ada kerusi UMNO) jika mahu menggantikan UMNO, malangnya kerusi ini adalah kerusi sukar.

    "PKR sudah berada di sana untuk sekian lama dan kami akan terus berada di sana," katanya di sini, hari ini.

    Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas pengagihan kerusi kawasan Parlimen yang besar di Semenanjung kepada PPBM berbanding PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) pada PRU-14.

    Dalam pengumuman oleh Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah pada Konvensyen Pakatan Harapan Ahad lalu, beliau mengumumkan PPBM mendapat 52 kerusi; PKR (51); DAP (35) dan PAN (27).

    Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, PKR perlu juga menghormati pendirian dan pendapat ahli serta pemimpin dalam parti itu membabitkan pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika pakatan itu menang dalam PRU-14.

    Katanya, ia satu keputusan besar yang dibuat dan beliau memahami sentimen rakyat serta ahli yang berjuang selama 20 tahun.

    "Kita perlu (buat keputusan) berdasarkan konsensus. Saya sendiri sudah nyatakan pendirian PKR dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan. Bukan sekadar pendirian biro politik, malah saya bacakan juga kenyataan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis itu," katanya.

    Ditanya pendirian biro politik PKR dan Anwar mengenai pemilihan calon Perdana Menteri itu, Mohamed Azmin bagaimanapun enggan mendedahkannya.

    Mengulas desakan mahukan beliau menjadi calon Perdana Menteri bagi pakatan pembangkang, Mohamed Azmin berkata, beliau mahu memberikan tumpuan kepada pembangunan Selangor dalam usahanya menjadikan negeri itu model untuk Malaysia. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PPBM Tidak Mahu Tanding Di Sabah, Sarawak - Azmin "