• Polis Tumpas Sindiket Dadah

    Published: Sunday, 21 January 2018
    A- A+
    SEREMBAN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di daerah ini dengan penahanan tiga lelaki dan merampas dadah bernilai lebih RM10,000 dalam satu operasi khas selama dua hari.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata hasil maklumat awam, pihaknya menahan sebuah kereta dinaiki dua lelaki berusia 28 dan 39 tahun di Taman Jasmin Senawang, di sini, pada jam 1 tengah hari, Khamis lalu.

    "Pemeriksaan dalam kereta itu menemui 69 peket plastik dadah dipercayai heroin seberat 240 gram (gm) selain satu paket Methamphetamine (12.5gm).

    "Siasatan lanjut membolehkan polis menahan seorang lagi suspek berusia 38 tahun kelmarin. Dia ditahan selepas keretanya terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis di Taman Bidara, Rahang di sini, kira-kira jam 9 pagi.

    "Polis menemui beg mengandungi satu paket plastik heroin seberat 22gm dan tiga paket Methamphetamine selain alat penimbang digital dalam kereta suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Katanya, susulan penahanan itu, polis dibawa ke sebuah bilik sewa di Taman Ming Ho, Rahang di sini, pada hari sama, sebelum menemui enam paket plastik besar dipercayai heroin seberat 105.19gm serta lima paket Methamphetamine (7.4gm) selain beberapa alat digunakan untuk membungkus dadah.

    Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Tumpas Sindiket Dadah "