• Polis Tahan Nelayan Tetak Adik Di Rampangi

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Seorang nelayan berusia 48 tahun ditahan polis pagi semalam di sebuah rumah di Kampung Rampangi dekat sini.

    Suspek ditahan sekitar jam 10.40 pagi semalam selepas tiga hari diburu pihak polis ekoran tindakannya menyerang adiknya sendiri di kampung sama sehingga menyebabkan kecederaan pada 14 Januari lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan penahanan tersebut berkata, pihaknya berjaya menjejak dan menahan suspek.

    Menurutnya, hasil siasatan terperinci suspek pernah mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan mencuri.

    “Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi 14 Januari lalu, suspek bertindak menyerang adiknya dengan menggunakan parang sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian muka dan lutut.

    “Serangan tersebut turut disaksikan oleh ahli keluarga suspek dan selepas itu suspek bertindak melarikan diri.” katanya.

    Mangsa dikejarkan ke hospital untuk tindakan lanjut dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

    Sehubungan itu kes tersebut akan disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Polis Tahan Nelayan Tetak Adik Di Rampangi "