• Polis Sibu Tahan Penganggur Kurung Teman Wanita

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+


    SIBU: Tindakan mengurung dan melakukan ugutan jenayah keatas teman wanita sejak sembilan hari lalu berakhir selepas pihak polis berjaya menahan seorang lelaki awal pagi tadi.

    Suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan ditahan pihak polis pada jam 1.30 pagi tadi ketika serbuan dijalankan di sebuah bilik sewa di Jalan Empelam dekat sini.

    Ketua Polis Daerah Sibu, ASP Stanley Jonathan Ringgit yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, tangkapan dilakukan sejurus menerima laporan daripada mangsa berusia 23 tahun yang berjaya melepaskan diri ketika disuruh suspek meminta wang daripada ibu saudaranya yang tinggal di Bawang Assan petang semalam.

    Menurut Stanley, ketika mangsa berjaya melepaskan diri daripada suspek, mangsa mengambil kesempatan untuk terus membuat laporan polis.

    "Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa telah dikurung suspek sejak 15 Januari lalu di sebuah bilik sewa dan dipaksa melakukan hubungan seks.

    "Suspek dikatakan bertindak ganas termasuk memukul dan menendang mangsa jika kemahuannya tidak dituruti, selain didakwa mengugut untuk mencederakan mangsa dan keluarganya jika cuba melarikan diri," katanya pada sidang media hari ini.

    Stanley berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu bagi menjalani pemeriksaan terperinci dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.

    Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 357 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.-Sarawakiana


  • No Comment to " Polis Sibu Tahan Penganggur Kurung Teman Wanita "