• Polis Siasat Ancaman Terhadap Kakitangan Veterinar Tangkap Anjing Liar

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    KUCHING: Pihak polis akan menyiasat ancaman jenayah terhadap kakitangan Jabatan perkhidmatan Verterinar Sarawak yang bertugas dalam operasi menangkap anjing liar disekitar Bandaraya ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak (JSJK) Datuk Dev Kumar memberitahu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah membuat laporan polis terhadap beberapa komen di laman Facebook yang mempertahankan anjing liar.

    Menurutnya, pihak polis telah melihat komen-komen tersebut dan mendapati sebahagian daripadanya bersifat jenayah. Walaupun niat baik laman Facebook tersebut untuk menyelamatkan anjing liar, namun telah mencetus kekerasan dan ancaman di kalangan pengikut laman berkenaan.

    "Pemilik akuan Facebook berkenaan malah mencadangkan untuk membunuh anggota yang terlibat dalam operasi menangkap anjing liar, manakala yang lain mencadangkan untuk melakukan sekatan jalan demi melepaskan anjing liar yang telah ditangkap, dan bercadang menggunakan langkah-langkah yang melampau untuk mengelakkan operasi tersebut," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Dev berkata, polis melahirkan kebimbangan terhadap ancaman yang dikeluarkan kepada penjawat awam yang diamanahkan untuk melakukan tugas mereka sejajar dengan undang-undang.

    Jelasnya, Polis sedang menyiasat laporan yang telah dibuat sebagai ancaman jenayah dan akan memanggil pemilik akaun Facebook terbabit untuk disoal siasat.

    Beliau menegaskan, Polis memberi amaran kepada pihak yang mungkin berniat untuk menghalang kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan tugas mereka.

    “Apa-apa percubaan dengan menggunakan kekerasan atau menyebabkan kemudaratan atau menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas mereka adalah satu kesalahan, dan orang yang bertanggungjawab akan ditangkap, disiasat dan akan didakwa di mahkamah," katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Polis Siasat Ancaman Terhadap Kakitangan Veterinar Tangkap Anjing Liar "