• Polis Palsu Larikan Anak Dara Orang Dipenjara 66 bulan, 5 Sebatan

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+


    RAUB - Seorang buruh selenggara jalan raya dijatuhi hukuman penjara 66 bulan dan lima sebatan selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan termasuk melarikan gadis berusia 16 tahun pada 27 Disember lalu.

    Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Faizal Sinorcho, 32, dipenjara 48 bulan selepas mengaku salah melarikan gadis, Nur Syaminn Nabila Mohd. Shapawi, 16, dengan niat untuk mengurung mangsa.


    Dia yang didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dituduh melakukan kesalahan itu di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan di sini pada pukul 11 pagi, 27 Disember tahun lalu.

    Muka depan akhbar ini pada 28 Disember lalu melaporkan Nur Syaminn Nabila dilarikan seorang lelaki mengaku anggota polis yang menaiki kereta sejurus mangsa pulang ke rumah selepas membeli buku dan alat tulis di sekolah bersama adiknya.

    Selain itu, Mohd. Faizal turut dipenjara 18 bulan selepas dia mengaku salah menyamar anggota polis berpangkat sarjan di tempat dan pada tarikh serta waktu yang sama sebelum melarikan Nur Syaminn Nabila dan bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

    Mohd. Faizal turut dikenakan penjara 12 bulan selepas mengaku salah bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) iaitu memiliki pistol tiruan berjenama STI tanpa permit di sebuah kedai motosikal di sini pada pukul 12 tengah hari, 27 Disember lalu.

    Bagi kesalahan mengikut tuduhan pertama hingga ketiga, Majistret Khairuddin Anhar Mahmud menetapkan tempoh penjara dijalankan serentak dari tarikh tangkapan 6 Januari lalu.

    Buruh tersebut turut dikenakan penjara 18 bulan dan lima sebatan selepas mengaku salah bagi satu lagi tuduhan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar anggota berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di sini dengan niat memperdaya warga emas, Fatimah Sulaiman, 62, pada 6.30 petang, 9 Disember 2016.

    Majistret Khairuddin Anhar turut menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan sejurus tertuduh mengaku salah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas tuduhan menipu Fatimah supaya wanita itu menyerahkan wang RM500 pada tarikh dan waktu yang sama supaya kononnya untuk melepaskan anak wanita itu yang terlibat kes berkaitan salah guna dadah.

    Kedua-dua hukuman bagi pertuduhan keempat dan kelima tersebut dijalankan serentak sejurus tamat tempoh penjara 48 bulan bagi pertuduhan pertama hingga ketiga.

    Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor Faizal Shamshir. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Palsu Larikan Anak Dara Orang Dipenjara 66 bulan, 5 Sebatan "