• Polis Marin: Tahap Keselamatan Empangan Bakun Dipertingkat

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+
    KUCHING, 18 Jan (Bernama) -- Tahap keselamatan di sekitar empangan Bakun di kawasan pedalaman bahagian tengah Sarawak ditingkatkan lagi dengan penugasan sepasukan Polis Marin di sekitar empangan itu mulai tahun ini.

    Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak ACP Salehuddin Mat Zaman berkata pasukan yang terdiri daripada seorang pegawai dan enam anggota telah dihantar bertugas di kawasan itu mulai bulan ini, sebelum diganti dengan pasukan baharu, supaya kawasan tersebut sentiasa dipantau secara bergilir oleh PPM.

    Beliau berkata kehadiran PPM akan memantapkan lagi aspek kawalan keselamatan di empangan itu yang ketika ini dikendalikan pasukan polis bantuan.

    "Aspek keselamatan tidak boleh diambil mudah di kawasan yang menempatkan aset penting negara itu, tahap keselamatannya perlu sentiasa ditingkatkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis marin Wilayah Lima di ibu pejabat pasukan itu di sini hari ini.

    Katanya PPM akan membantu dalam aspek meronda dan memantau sekitar kawasan empangan yang sukar diakses menerusi jalan darat.

    Salehuddin seterusnya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat seperti pengurusan dan unit keselamatan empangan Bakun serta Lembaga Sungai-sungai Sarawak, yang banyak membantu dari segi logistik seperti penyediaan tempat tinggal dan pejabat sementara pontoon (pelantar terapung) untuk menempatkan aset PPM.

    Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata sepanjang tahun lepas PPM Wilayah Lima telah menangani 565 kes jenayah yang berkaitan dengan bidang kuasanya berbanding 421 pada tahun sebelumnya.

    Katanya beliau amat berbangga dengan pencapaian dan prestasi baik yang ditunjukkan PPM Wilayah 5 tahun lepas, yang mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Komander Pasukan Polis Bukit Aman.

    Perhimpunan pagi ini turut menyaksikan PPM Wil 5 menyampaikan 12 surat penghargaan kepada individu yang banyak membantu dalam menjayakan agenda PPM, dengan tujuh daripada penerimanya ialah pihak media. -- BERNAMA
  • No Comment to " Polis Marin: Tahap Keselamatan Empangan Bakun Dipertingkat "