• Polis Kuching Rampas Dadah Bernilai RM194 Ribu, Suspek Suami Isteri Ditahan

    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Polis merampas dadah pelbagai jenis dengan berat keseluruhan  842.6 gram bernilai RM194,976 dan menahan pasangan suami isteri dalam serbuan di Muara Tabuan, di sini petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai, berkata ianya merupakan rampasan terbesar di negeri ini pada tahun ini.

    Menurutnya, dalam serbuan di tempat letak kereta sebuah apartment di Jalan Usaha, Muara Tabuan semalam, pihak polis telah menahan seorang lelaki berbangsa cina berusia 45 tahun dan telah menyerahkan satu plastik hitam mengandungi dadah yang disyaki syabu seberat 2.10 gram bersama 100 butir pil Erimin 5 dengan berat kasar 27.66 gram.


    "Suspek turut mengaku ada menyimpan dadah didalam rumahnya di apartmen tempat dia ditahan telah membawa kepada penemuan satu beg kertas di atas lantai yang mengandungi 163 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki syabu dengan berat kasar 611.79 gram.

    "Turut dijumpai dalam beg kertas berkenaan ialah 140 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi dengan berat kasar sebanyak 50.18 gram dan 650 biji pil Erimin 5 dengan berat kasar berjumlah 180.63 gram," katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Beliau berkata, pihak Polis turut menahan seorang wanita berusia 40 tahun, dipercayai isteri suspek yang berada di dalam rumah tersebut ketika serbuan.

    Turut dirampas ialah sebuah kereta Toyota Vios dan wang tunai berjumlah RM2,000.

    "Ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah dan mereka kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Polis Kuching Rampas Dadah Bernilai RM194 Ribu, Suspek Suami Isteri Ditahan "