• Polis Kesan Facebook Sebar Berita Palsu Kaitkan Kes Bunuh Di Miri Dengan Penculikan

    Published: Friday, 12 January 2018
    A- A+
    KUCHING: Polis Sarawak sedang mengesan pemilik akaun Facebook yang disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai kes penculikan untuk mendapatkan organ di negeri ini.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, pihak polis hari ini telah dimaklumkan berhubung status Facebook menggunakan nama ‘Amelsan Tahagi’ yang memuatnaik maklumat palsu mengenai penculikan kanak-kanak yang bertujuan untuk meraih organ dalaman.

    Menurutnya, pemilik Facebook berkenaan turut memuatnaik tiga gambar membabitkan kes pembunuhan di Miri, yang mana seorang gadis berusia 13 tahun ditemui mati dalam kereta.

    “Polis telah memulakan siasatan terhadap status facebook tersebut yang menyebarkan berita palsu. Pemilik akaun Facebook terbabit sedang dikesan dan akan ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

    Beliau mengingatkan orang ramai terutama netizen untuk menggelak dari terlibat menyebarkan maklumat palsu.

    “Tindakan menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – Sarawakiana
  • No Comment to " Polis Kesan Facebook Sebar Berita Palsu Kaitkan Kes Bunuh Di Miri Dengan Penculikan "