• Polis Edar Gambar 5 Tahanan Lolos

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    KOTA KINABALU: Polis hari ini mengedarkan gambar lima lelaki warga Filipina yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, di sini, Isnin lalu.

    Lima suspek terbabit ialah Azmi Alim, 29; Mus Mansul, 62; Totong Alipudin, 35; Amir Sulaman, 23, dan Alji Sadain, 23.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata polis meminta kerjasama orang awam supaya menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Paul Lia di talian 014-5969134, jika ternampak semua individu terbabit.

    "Adalah menjadi suatu kesalahan di sisi undang-undang, sesiapa yang cuba menyembunyikan atau membantu semua suspek terbabit.

    "Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak gusar berhubung kejadian ini kerana operasi mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.

    Dalam kejadian pada jam 5.20 petang Isnin lalu, tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, melarikan diri dari PTS Manggatal, namun dua daripadanya berjaya ditahan semula oleh pengawal keselamatan pusat berkenaan.

    Berikutan itu, polis melancarkan operasi khas 'Ops Tutup' iaitu melakukan sekatan jalan raya di lokasi strategik bagi mengesan semua suspek.

    Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, dilaporkan berkata polis percaya lima lelaki terbabit masih berada dalam negeri ini dan bersembunyi di kawasan berhampiran.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Edar Gambar 5 Tahanan Lolos "