• Polis Buka Kertas Siasatan Isu Hina RELA

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+

    KOTA KINABALU: Polis Sabah sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Pengerusi Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa menghina anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

    Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata ia berdasarkan 10 laporan polis yang diterima berhubung isu itu setakat ini.

    "Sebanyak 10 laporan polis diterima berkaitan kes itu dan kita sudah memulakan siasatan termasuk berusaha memanggil beliau (Mohd Shafie)," katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

    Sebelum ini beberapa kumpulan anggota RELA di seluruh negara membuat laporan polis meminta tindakan diambil terhadap Mohd Shafie kerana kenyataannya yang berkaitan RELA dalam ucapannya di Tuaran baru-baru ini didakwa bersifat penghinaan.

    Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna didakwa mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah anggota RELA hanya layak untuk menjaga trafik majlis kenduri.

    Semalam, Mohd Shafie berkata, beliau tidak perlu meminta maaf berhubung isu itu kerana dirinya tidak bersalah dan mendakwa perkara itu timbul selepas kenyataannya berkaitan RELA diputar-belit pihak tertentu.

    Katanya, apa yang beliau cakap berhubung anggota RELA dalam ucapannya itu terkandung dalam Akta 752 (Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012) dan bukannya menghina.

    Beliau turut mendakwa kenyataannya itu merujuk kepada anggota RELA di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dan bukannya di seluruh negara.

    Semalam, Mohd Shafie berkata beliau sudah memberi keterangan berhubung perkara itu selama dua jam kepada polis yang datang menemuinya di Ibu Pejabat Warisan di sini. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Buka Kertas Siasatan Isu Hina RELA "