• PM Tiba Rasmi Klinik Kesihatan Nabawan

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+

    NABAWAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini merasmikan bangunan Klinik Kesihatan Nabawan, membabitkan kos sebanyak RM28.8 juta.

    Kehadiran Perdana Menteri kira-kira jam 8.50 pagi itu diiringi Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

    Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pensingan, Tan Sri Joseph Kurup; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Bobbey A Suan.

    Selepas perasmian klinik, Perdana Menteri turut melawat kawasan sekitar klinik berkenaan.

    Klinik Kesihatan Nabawan yang baharu itu mula beroperasi sepenuhnya pada 5 Disember 2016, dengan 15 katil berbanding hanya empat katil sebelum ini.

    Justeru, rakyat di sekitar daerah berkenaan dapat menikmati kemudahan rawatan kesihatan.

    Hingga kini, Klinik Kesihatan Nabawan mempunyai 87 kakitangan termasuk dua doktor pakar dan 10 pegawai perubatan.

    Klinik Kesihatan Nabawan memberikan perkhidmatan kepada seluruh penduduk daerah ini membabitkan enam mukim iaitu Nabawan, Sepulut, Pagalungan, Pensiangan, Pemunterian dan Tatalaan, dengan jumlah penduduk kira-kira 32,309 orang.

    Antara perkhidmatan yang disediakan di Klinik Kesihatan Nabawan ialah perkhidmatan pesakit luar, rawatan dan kecemasan, penyakit berjangkit, perkhidmatan ibu bersalin, farmasi dan klinik bergerak.

    Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau, Dr Marsudi Manah, berkata klinik ini mampu memberi perkhidmatan kesihatan kepada kira-kira 400 orang sehari.

    "Bagaimanapun, setakat ini purata pesakit sehari adalah kira-kira 250 orang. Perkhidmatan kecemasan di klinik ini juga adalah 24 jam.

    "Penduduk yang menerima rawatan di sini bukan hanya dari pekan Nabawan tetapi juga dari kampung yang jauh termasuk Saliliran," katanya.

    Bangunan lama Klinik Kesihatan Nabawan telah dibina dan beroperasi sejak tahun 1970-an, sebelum bangunan baharu dibina pada tahun 2013 secara berperingkat dan siap sepenuhnya pada November 2016. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PM Tiba Rasmi Klinik Kesihatan Nabawan "