• PM hantar delegasi khas ke Cox's Bazar

    Published: Saturday, 27 January 2018
    A- A+


    SUBANG: Malaysia terus membantu pelarian Rohingya di Bangladesh dengan menghantar 10 tan lagi bantuan kemanusiaan ke Cox's Bazar melalui penerbangan tentera, hari ini.

    Rombongan khas diketuai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor itu juga meninjau kesan hospital medan Malaysia di wilayah Ukhia di Cox's Bazar, sejak Disember lalu.

    Penghantaran delegasi yang turut disertai Duta Khas Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Tan Sri Michelle Yeoh itu dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini.

    Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan wakil kedutaan Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bangladesh.

    Pesawat tentera Airbus A400M berlepas ke Chittagong pada jam 9 pagi tadi, dijangka tiba di destinasi dalam masa dua jam setengah. Ini misi kemanusiaan ketiga Malaysia ke Bangladesh.

    Misi kemanusiaan kali ini turut mendapat sokongan Arab Saudi dan UAE yang akan memberi bantuan peralatan perubatan hospital medan Malaysia.

    Operasi hospital medan itu diketuai Kementerian Kesihatan dengan sokongan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Relief Agency (MRA), Islamic Medical Association Relief Team, Mercy Malaysia dan Humanity Heroes.

    Pembinaan hospital medan dan penyediaan aset perubatan serta latihan teknikal kakitangan perubatan awam dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PM hantar delegasi khas ke Cox's Bazar "