• PKR Selangor Tidak Termasuk Dalam Kenyataan Bersama Harapan

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    Tulisan asal oleh:
    Malaysiakini, 11 Januari 2018

    PKR Selangor memilih untuk tidak menandatangani satu kenyataan bersama dengan tiga parti komponen Harapan lain yang menyokong pengisytiharan pembangkang persekutuan pada konvensyen kebangsaan keduanya pada hari Ahad.

    Kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam hanya ditandatangani oleh Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari.

    "Bagi pihak Amanah, DAP dan Bersatu, kami ingin menegaskan sokongan kami yang teguh terhadap semua perisytiharan yang dibuat semasa konvensyen," menurut kenyataan itu.

    Antara lain, pengisytiharan itu adalah untuk mengumumkan pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka dan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

    Selain calon Perdana Menteri, Harapan juga mengumumkan pembahagian kerusi untuk pilihan raya umum ke-14, dan komitmennya untuk melantik bekas pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan.

    Anwar sendiri, melalui kenyataan yang dibacakan oleh anak perempuannya dan naib presiden PKR Nurul Izzah, juga berkata partinya telah menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Harapan.

    Difahamkan, PKR Selangor bagaimanapun menentang penamaan Mahathir sebagai calon perdana menteri gabungan itu.

    PKR Selangor diketuai oleh Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, dengan ketua wanita PKR, Zuraida Kamaruddin sebagai timbalannya.

    Berikutan perisytiharan tersebut, Zuraida telah menyuarakan bantahannya terhadap amalan "kitar semula" pemimpin.

    Walaupun menekankan bahawa beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan Mahathir, Zuraida berkata ia adalah lebih sesuai untuk melantik mantan perdana menteri itu sebagai "menteri kanan" dalam kabinet Harapan.

    Ketua biro komunikasi PKR Selangor, Hizwan Azman berkata, Malaysia hari ini memerlukan lebih banyak "pemimpin baru" untuk menggerakkan negara keluar daripada "kitaran kemusnahan" oleh BN.

    Sementara itu, apabila dihubungi untuk mendapatkan komen atas sebab-sebab yang mungkin yang menyebabkan PKR Selangor tidak termasuk dalam pengisytiharan itu, Pua hanya membalas dengan berkongsi sentimen Hizwan.

    Perisytiharan Harapan pada Ahad sepatutnya menamatkan perdebatan mengenai kepulangan Mahathir kepada pemerintahan sebagai calon perdana menteri Harapan, satu langkah yang telah menyebabkan bantahan dari pihak-pihak tertentu.

    Link asal artikel:
    https://www.malaysiakini.com/news/408265

    Subjects:

  • No Comment to " PKR Selangor Tidak Termasuk Dalam Kenyataan Bersama Harapan "