• PKR Selangor Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+

    SHAH ALAM: PKR Selangor menolak keputusan pakatan pembangkang yang memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri jika pakatan itu menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor, Hizwan Ahmad, berkata pihaknya kecewa dan terkilan dengan keputusan janggal itu yang disifatkan tidak sejajar dengan semangat reformasi yang sekian lama diperjuangkan.

    Katanya, parti perlu mengangkat calon baharu sebagai perdana menteri, bukannya Dr Mahathir.

    "PKR Selangor berasa amat janggal untuk mengakui bahawa setelah begitu panjang tempoh perjuangan kita, parti ini tidak mampu untuk mengangkat seorang tokoh sendiri. Golongan milenium mahu melihat seorang tokoh segar dan kaya dengan buah fikiran yang berpandangan jauh.

    "Sedang kami menghormati keputusan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, izinkan juga kami menyatakan pendirian berbeza. Biarlah ia terakam dalam lipatan sejarah suatu hari nanti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu dikeluarkan tidak sampai tempoh 24 jam selepas pakatan pembangkang mengumumkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai calon timbalan perdana menteri.

    Hizwan juga yakin rakyat dan penggerak Reformasi 1998 tidak akan melupakan sejarah, sekali gus menuntut reformasi sepenuhnya dilakukan dalam semua aspek. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PKR Selangor Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju "