• PH Yakin Menangi 10 Kerusi Parlimen Sarawak

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+

    Pakatan Harapan (PH) Sarawak meletakkan keyakinan yang tinggi dengan menyasarkan sekurang-kurang 10 kerusi parlimen Sarawak bakal dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

    Pengerusi PH negeri, Chong Chieng Jen berkata, pihaknya memutuskan untuk memfokuskan hanya 10 kerusi parlimen pada PRU14.

    Beliau yang dipetik FMT turut melahirkan keyakinan dengan memenangi 10 kerusi parlimen di negeri ini akan membolehkan PH membentuk kerajaan baru menggantikan Barisan Nasional (BN).

    “Sentimen di Malaysia Barat ialah jika PH Sarawak boleh menang 10 kerusi, maka kita pasti dapat menawan Putrajaya,” katanya.

    Menurutnya, walaupun PH bercadang bertanding di semua kerusi Parlimen, tetapi mereka paling yakin hanya mampu menang di 10 kerusi sahaja.

    “Kami akan fokus 10 kerusi bandar dan pinggir bandar, termasuk apa yang kami ada. Itu adalah 10 kerusi yang kami percaya boleh dimenangi.

    “Kami cuba bersikap realistik dan 10 kerusi, untuk kami, ialah angka munasabah. Dalam politik, walaupun kami mahu berkeyakinan, kami juga perlu realistik,” katanya dipetik FMT

    Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, berkata, walaupun 10 kerusi mungkin kelihatan seperti angka kecil, sebenarnya ia akan menjadi peningkatan lebih 66% yang “cukup baik”.

    Sarawak kini mempunyai 31 kerusi Parlimen, dimana 5 dari kerusi tersebut iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang dan Sibu dimenangi DAP, sementara PKR hanya memenangi kerusi parlimen Miri pada Pilihan Raya Umum ke 13 . – Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " PH Yakin Menangi 10 Kerusi Parlimen Sarawak "