• Pets Lover Fiesta Himpun Lebih 500 Haiwan Peliharaan

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR – Pencinta haiwan peliharaan berpeluang menyaksikan lebih 200 kucing dan 300 haiwan lain dalam Pets Lover Fiesta 2018, yang akan berlangsung pada 3 hingga 11 Feb ini di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini.

    Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid berkata fiesta yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia itu bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan haiwan peliharaan yang turut menggabungkan elemen kraftangan.

    “Fiesta ini berkonsepkan mesra keluarga yang mana orang ramai dapat berkunjung ke pameran kucing, menyertai pertandingan kucing, pertunjukan fesyen kucing dan pertunjukan busana batik bermotifkan kucing, pameran dan jualan kraf, mini zoo dan petting zoo,” katanya dalam satu sidang akhbar, hari ini.

    Beliau berkata fiesta berkenaan menampilkan suasana ‘Cat Purr-radise’ seolah-olah pengunjung berada di syurga haiwan.

    Katanya, fiesta itu turut menghimpunkan haiwan peliharaan lain seperti arnab, kura-kura, ayam dan burung selain pengunjung berpeluang menyaksikan lebih 5,000 koleksi artifak berkonsepkan kucing melalui galeri khas oleh Kraftangan Malaysia.

    Khalid berkata pengunjung juga dapat menikmati persembahan panggung mini ‘Cats The Musical’ selama 45 minit dengan bayaran RM5 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

    Bagaimanapun, katanya tiada bayaran dikenakan untuk masuk ke fiesta berkenaan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pets Lover Fiesta Himpun Lebih 500 Haiwan Peliharaan "