• PETRONAS, Sarawak Perkukuh Kerjasama

    Reporter: Yusz Man
    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+


    PETRA JAYA: Sarawak diyakini terus menjadi penggiat utama industri petroleum negara melalui pemilikan 10 peratus ekuiti dalam PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd (PL9SB) yang terbabit dalam pengeluaran gas asli cecair (LNG) di Bintulu.

    Melalui perolehan terbaru itu, kerajaan Sarawak keseluruhannya kini memiliki kepentingan dalam keempat-empat aset di Kompleks LNG Bintulu, yang juga pusat pengeluaran utama LNG negara.

    Kerajaan Sarawak sebelum ini sudah memiliki kepentingan lima peratus dalam MLNG Satu Sdn Bhd dan masing-masing 10 peratus ekuiti dalam MLNG Dua Sdn Bhd dan MLNG Tiga Sdn Bhd.

    Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata pencapaian terbaru itu sebahagian daripada kejayaan rundingan di antara kerajaan negeri dan PETRONAS.

    Ia juga, katanya, sebahagian inisiatif memastikan Sarawak berperanan secara aktif dalam industri minyak negara, termasuk dalam sektor huluan dan hiliran, sekali gus meletakkan prestasi ekonomi negeri terus pada landasan kukuh.

    "Ini sebahagian daripada program kerjasama kita dengan PETRONAS, seperti yang dimahukan oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

    "Kita berterima kasih kepada PETRONAS kerana sentiasa mengambil kira kepentingan Sarawak untuk mengambil bahagian secara aktif dalam industri petroleum di negeri ini," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persetujuan Pemilikan Ekuiti Dalam LNG 9 Bintulu di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

    Ia ditandatangani di antara Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Seri Ahmad Tarmizi Sulaiman yang mewakili Kerajaan Sarawak, manakala PETRONAS diwakili Naib Presiden Kanan Strategi Korporat, Ir M Firouz Asnan.

    Yang hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohammad Morshidi Abdul Ghani dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

    Sementara itu, Wan Zulkiflee menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai usaha memperkukuhkan kolaborasi sejak sekian lama di antara entiti petroleum berkenaan dan kerajaan negeri.

    Katanya, kerjasama itu turut membabitkan usaha pembangunan dan tambah nilai kepada sumber hidrokarbon di pesisir pantai Sarawak.

    "Bagi PETRONAS, kami ingin menyuarakan penghargaan kepada kerajaan negeri di atas kerjasama dan sokongan berterusan untuk merealisasikan manfaat bersama daripada pembangunan sumber hidrokarbon di negeri ini.

    "Kerjasama dalam PL9SB menggariskan komitmen kedua-dua pihak kepada kolaborasi berterusan dalam pembangunan minyak dan gas di Sarawak, selain sebarang bentuk kerjasama lain yang akan memanfaatkan negeri ini dan PETRONAS," katanya.

    Dengan kapasiti pengeluaran 3.6 juta tan setahun (MTPA), LNG 9 memulakan operasi komersial pada Januari 2017, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keseluruhan pengeluaran Kompleks LNG Bintulu kepada 30 MTPA.

    Selain PETRONAS dan kerajaan Sarawak, pemegang kepentingan lain dalam PL9SB ialah JXTG Nippon Oil & Energy Corporation dan PTT Global LNG Company Limited, masing-masing sebanyak 10 peratus.-BHOnline
  • No Comment to " PETRONAS, Sarawak Perkukuh Kerjasama "