• 'Pesta Gudi' Promosi Sarawak

    Published: Sunday, 21 January 2018
    A- A+
    SIBU: Pantai Belawai dan Pantai Kabong, di sini dikenal pasti berpotensi bagi penganjuran festival layang-layang antarabangsa, sekali gus menjadi aset pelancongan baharu di wilayah tengah negeri ini

    Ahli Jawatankuasa Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Iskandar Naziri, berkata pemilihan dua lokasi itu dibuat berdasarkan kejayaan penganjuran acara berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

    Beliau berkata kedua-dua lokasi itu menjadi tumpuan ramai, terutama pada hujung minggu, sekali gus melonjak potensinya sebagai antara destinasi pelancongan popular di Sarawak.

    "Kita pernah mengelolakan pertunjukan layang-layang di Pantai Belawai dan Pantai Kabong sebelum ini, dengan sambutan diterima cukup luar biasa.

    "Selain keadaan persekitarannya yang bersih, faktor angin juga menjadikan lokasi itu sesuai dijadikan lokasi pertandingan wau dan layang-layang.

    "Ia juga sesuai untuk pengunjung berkelah dan bersantai. Ini tentunya membantu aliran trafik pelancongan ke kedua-dua daerah ini yang terkenal dengan pelbagai tarikannya," katanya ketika ditemui BH, di sini hari ini.

    Beliau yang juga Presiden Kelab Gudi Sarikei (KEGUSA) berkata sebagai acara pembuka tirai, MPM dengan kerjasama Pejabat Daerah Kabong akan menganjurkan festival wau dan layang-layang pada 9 hingga 11 Mac ini.

    Selain Malaysia, lapan negara termasuk China, Australia, Thailand, Austria, Indonesia Brunei dan Singapura sudah mengesahkan penyertaan masing-masing.

    "Kita masih menunggu pengesahan empat peserta lagi yang mewakili Jepun dan Vietnam.

    "Ia bakal mencipta sejarah festival wau dan layang-layang terbesar di rantau ini selepas acara seumpamanya di Thailand dan Pasir Gudang, terutama dalam konteks penyertaan," katanya.

    Sementara itu, KEGUSA berhasrat mengambil langkah proaktif dalam mengenalpasti lokasi lain di negeri ini yang berpotensi bagi tujuan sama.

    "Ia sebahagian daripada pendekatan membantu kerajaan negeri menarik lebih ramai kehadiran pelancong luar negara dan domestik, sekali gus melonjakkan sektor pelancongan tempatan.

    "KEGUSA sedang berusaha untuk mewujudkan galeri seni wau di Sarikei sebagai inisiatif untuk mengetengahkan bakat baharu dalam pembuatan wau di wilayah tengah Sarawak.

    "Kita juga sedang bersiap sepenuhnya untuk menyertai Festival Wau Pasir Gudang, Johor pada 28 Februari ini," katanya.

    KEGUSA sebelum ini mengharumkan nama Sarawak apabila pernah menjuarai beberapa kategori penting dalam acara bertaraf antarabangsa yang menarik penyertaan peserta dari seluruh dunia itu. - BHOnline
  • No Comment to " 'Pesta Gudi' Promosi Sarawak "