• Pesawat Terhempas: Lima Sekeluarga Antara Yang Maut

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+


    SAN JOSE: Lima sekeluarga dari New York antara 12 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat yang terhempas lalu meletup, sebaik sahaja berlepas dari pusat peranginan popular di Costa Rica, kelmarin.

    Menurut jurucakap Kerajaan Costa Rica, semua mangsa, masing-masing 10 rakyat Amerika Syarikat dan dua juruterbang warga Costa Rica yang menaiki pesawat Cessna 208B Grand Caravan itu maut.

    Insiden berlaku di pergunungan berhampiran pantai Punta Islita di wilayah Guanacaste, terletak kira-kira 230 kilometer di barat ibu negara Costa Rica, San Jose.

    Semalam, pekerja forensik berjaya menemui beberapa mayat yang terbakar, di tempat nahas dan semua mayat dibawa ke San Jose, untuk dibedah siasat.

    Rumah mayat di San Jose sudah dipenuhi ahli keluarga dan rakan dua juruterbang rakyat Costa Rica.

    "Bedah siasat akan diadakan hari ini," kata pegawai polis tempatan kepada wartawan.

    Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut tarikh mayat mangsa akan diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing.

    "Berdasarkan keadaan semasa, usaha untuk mengenal pasti mangsa akan mengambil masa. Jadi, kita perlu tunggu," kata Menteri Keselamatan Costa Rica, Gustavo Mata kepada Reuters ketika dihubungi menerusi telefon.

    Antara yang terkorban, termasuk pasangan Bruce dan Irene Steinberg dan tiga anak lelaki mereka, iaitu William, Zachary dan Matthew.

    "Kami sangat terkejut dan tidak percaya dengan apa yang berlaku sekarang," kata Tamara Steinberg Jacobsen di akaun Facebook sambil memuat naik gambar keluarga adiknya, Bruce.

    Sementara itu, Nature Air, syarikat pengendali pesawat terbabit, mengesahkan identiti mangsa, selain Steinberg sekeluarga, lima lagi penumpang yang maut ialah Thibault Astruc, Amanda Geissler, Charles Palmer, Leslie Weiss dan Sherry Wuu.

    Dua juruterbang yang maut ialah Juan Manuel Retana and Emma Ramos.

    Dalam pada itu, pihak berkuasa penerbangan awam Costa Rica berkata, punca kejadian masih disiasat. - Reuters/ BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pesawat Terhempas: Lima Sekeluarga Antara Yang Maut "