• Peruntukan ADUN PAS Selangor Dibekukan?

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+


    SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, beliau dimaklumkan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) negeri bahawa peruntukan kepada wakil rakyat parti itu untuk tahun ini akan dibekukan.

    Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung dakwaan pembekuan peruntukan tahunan sebanyak RM800,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS itu.

    "Kita hanya diberitahu secara lisan oleh pegawai EPU negeri. Kita belum terima surat rasmi lagi. Jika benar perkara ini ia adalah tindakan yang tidak wajar.

    "Kerajaan Selangor hari ini ialah kerajaan Pakatan Rakyat yang berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan PAS adalah komponen dalam pentadbiran kerajaan negeri.

    "Setiap ADUN PAS di negeri ini layak menerima peruntukan untuk tahun ini selagi Parlimen belum dibubarkan untuk PRU-14," katanya kepada BH Online di sini, hari ini.

    Sallehen yang juga ADUN Sabak tidak menolak kemungkinan terdapat campur tangan pihak tertentu dalam Pakatan Harapan yang cuba menjejaskan gerak kerja wakil rakyat PAS.

    "Jika tiada maklum balas daripada kerajaan negeri, kita mungkin memohon perkenan untuk menghadap Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) bagi memaklumkan perkara ini," katanya.

    BH Online sebelum ini melaporkan Mohamed Azmin menafikan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan kepada wakil rakyat PAS di negeri itu.

    Beliau sebaliknya berkata, kelewatan itu mungkin berpunca dari masalah teknikal dan beliau berjanji untuk menyelesaikannya.

    PAS memenangi 15 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13, iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Kelang.

    Bagaimanapun ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib serta ADUN Morib, Hasnul Baharuddin keluar PAS tidak lama selepas PRU-13 dan menyertai Parti Amanah Negara (PAN).-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Peruntukan ADUN PAS Selangor Dibekukan? "