• Persempanan Semula Kawasan DUN Sarawak Untuk Pembangunan Menyeluruh

    Published: Tuesday, 30 January 2018
    A- A+
    KUCHING: Persempadanan semula kawasan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah penting bagi memastikan pentadbiran dan pembangunan lebih berkesan di Sarawak.

    Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, Sarawak boleh berbangga kerana mempunyai bilangan perwakilan yang paling besar berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

    Menurutnya, komposisi anggota juga adalah pelbagai dari aspek fahaman politik, etnik dan strata.

    “Penggunaan bahasa tempatan dalam sesi persidangan adalah sesuatu yang unik yang mencerminkan sikap bertolak ansur dan saling menghormati bahasa serta budaya penduduk Sarawak.

    “Kematangan Dewan ini dicerminkan melalui topik perbahasan yang menyeluruh dan menyentuh isu-isu tempatan, nasional dan global.

    “Perbahasan ini menjurus kepada kepentingan Negeri daripada segi kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat yang pelbagai kaum di Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Istiadat Persidangan Khas Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

    Taib menjelaskan, DUN Sarawak juga adalah lambang perpaduan antara kaum di negeri ini.

    “Keahliannya terdiri daripada wakil rakyat yang dipilih daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.

    “Suasana ini mencerminkan amalan demokrasi sentiasa subur di Negeri ini yang memperjuangkan aspirasi rakyat,” ujarnya.

    Beliau turut menasihati rakyat negeri ini supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang usaha yang menggugat perpaduan dan keharmonian di negeri ini.

    “Saya gembira atas usaha kerajaan dalam memperkukuhkan lagi perpaduan yang sedia ada di kalangan rakyat di negeri ini,” jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Persempanan Semula Kawasan DUN Sarawak Untuk Pembangunan Menyeluruh "