• Permohonan Undi Pos Luar Negara Dibuka Esok

    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+

    Permohonan pengundian pos luar negara akan dibuka kepada orang ramai mulai esok bagi membolehkan mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, SPR sudah menetapkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi termasuk mesti seorang pemilih berdaftar bagi kategori pengundi biasa atau bukan pengundi tidak hadir luar negara.

    Katanya, syarat lain adalah pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.

    "Mereka yang menetap di luar negara kecuali yang tinggal di selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan Indonesia tidak layak diberikan kemudahan untuk mengundi melalui pos.

    "Mereka perlu balik untuk mengundi pada hari pengundian dijalankan," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

    Sehubungan itu, Mohd Hashim berkata, warganegara yang layak dan menepati syarat boleh membuat permohonan mengundi melalui pos menggunakan Borang 1B.

    Katanya, SPR sudah memuat naik Borang 1B Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) dan garis panduan mengisi borang dari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my.

    "Permohonan yang sudah lengkap perlu dihantar kepada Ibu Pejabat SPR di Putrajaya sama ada melalui emel upup@spr.gov.my; faks ke 03-8881 0424/ 0399/ 0394/ 0386/ 0369; atau pos,"katanya.

    Alamat SPR adalah Menara SPR, No.2 Jalan P2T, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya (u.p. Unit Pengurusan Undi Pos Luar Negara).

    Menurutnya, permohonan mengundi melalui pos dari luar negara akan ditutup pada hari pembubaran Parlimen, dan permohonan yang diterima selepas jam 12tengah malam pada hari pembubaran Parlimen tidak akan diproses.

    Mohd Hashim berkata, setiap permohonan yang diterima akan diproses oleh SPR dan pemohon akan dimaklumkan status permohonan mereka sama ada lulus atau sebaliknya.

    Bagaimanapun, warganegara yang mendaftar sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH) di luar negara adalah pengundi pos dan mereka tidak perlu memohon.

    "SPR juga menasihatkan semua warganegara yang sudah berdaftar sebagai PTH Luar Negara untuk mengemas kini alamat terkini di luar negara melalui Sistem Aduan dan Pertanyaan SPR di portal rasmi SPR.

    "Permohonan kemas kini alamat terkini di luar negara hendaklah dilampirkan bersama salinan pasport sebagai pengesahan pengenalan diri oleh pemohon," katanya.

    Katanya, langkah ini diambil bagi tujuan penghantaran kertas undi pos untuk PRU akan datang.

    Menurutnya, pada PRU-14, penghantaran kertas undi pos akan diuruskan sepenuhnya oleh POS Malaysia Berhad dan tidak lagi melalui Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Permohonan Undi Pos Luar Negara Dibuka Esok "