• Perkhidmatan Teksi Di LTAK Beroperasi Semula 6 Petang Ini

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+
    Foto Awani
    Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) memberi jaminan bahawa perkhidmatan teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) akan beroperasi semula pada jam 6 petang hari ini.

    Pengurus Kanan (LTAK), Mohd Nadzim Hashim dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya sudah berkomunikasi dengan beberapa pihak berkuasa bersama dengan wakil pemandu teksi berikutan lanjutan mogok kumpulan pemandu teksi di sini.

    "Kami telah berkomunikasi dengan pihak berkuasa tempatan, pengendali teksi lapangan terbang dan persatuan mengenai perkara ini kerana ia memberi kesulitan yang besar kepada penumpang kami.

    "Persatuan telah memberitahu kami bahawa perkhidmatan teksi akan disambung semula pada jam 6 petang hari ini", katanya di sini.

    Sementara itu, Mohd Nadzim juga menasihati supaya penumpang LTAK yang ingin menggunakan perkhidmatan teksi membuat alternatif pengangkutan untuk perjalanan ke destinasi masing-masing.

    Beliau juga memberi keyakinan bahawa operasi jadual penerbangan di LTAK berjalan secara normal.

    "Penumpang di lapangan terbang boleh meminta bantuan dari kakitangan LTAK jika mereka memerlukan maklumat mengenai pengangkutan alternatif," katanya.

    Lebih 200 pemandu teksi di sekitar bandar Kuching mogok mengadakan perhimpuan aman membantah Uber dan Grab yang didakwa menyebabkan punca utama mereka hilang pendapatan di sini.

    Pemandu teksi terbabit juga berkumpul di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) seawal 9 pagi tadi untuk menyerahkan petisyen kepada Pejabat Ketua Menteri Sarawak yang diserahkan kepada Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Ahmad Hazlan Ismawi. - Awani
  • No Comment to " Perkhidmatan Teksi Di LTAK Beroperasi Semula 6 Petang Ini "