• Perjanjian Sambung Semula Pencarian MH370

    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA – Malaysia hari ini memeterai perjanjian dengan syarikat eksplorasi dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited, untuk menyambung semula pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan H370 yang hilang pada 8 Mac, 2014.

    Memorandum Persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman bagi pihak kerajaan Malaysia sementara Ocean Infinity diwakili oleh ketua pegawai eksekutifnya, Oliver Plunkett, pada satu majlis di sini dengan disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

    Ketika ditemui pemberita selepas pemeteraian MoU itu, Liow berkata pencarian dijangka bermula pertengahan Januari tahun ini dan kapal Seabed Constructor akan menjalankan pencarian meliputi kawasan seluas 25,000 kilometer persegi selama 90 hari.

    Beliau berkata pencarian di selatan Lautan Hindi adalah berdasarkan terma “no cure, no fee”, yang bermakna pembayaran hanya akan dibuat apabila serpihan bangkai pesawat MH370 yang hilang itu ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga.

    “Misi utama Ocean Infinity ialah mengenal pasti lokasi lapangan serpihan pesawat, bangkai dan atau kedua-dua perakam penerbangan – perakam suara kokpit dan Perakam Data penerbangan dan mengemukakan bukti penting dan boleh percaya untuk mengesahkan lokasi sebenar item-item utama,” kata beliau.

    Australia, China dan Malaysia, yang menyelaras dan membiayai secara bersama operasi pencarian telah menggantung misi pencarian MH370 pada Januari tahun lalu selepas tiada kesan pesawat Boeing itu dijejaki di kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

    Penerbangan MH370 hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014. Pesawat malang itu membawa 239 penumpang dan anak kapal.

    Liow berkata kapal Seabed Constructor kini dalam pelayaran ke kawasan pencarian dengan memanfaatkan keadaan cuaca baik di selatan Lautan Hindi.

    Mengenai pembayaran, beliau menjelaskan bahawa pembayaran kepada Ocean Infinity tertakluk kepada lokasi kawasan bangkai pesawat ditemukan berdasarkan pembahagian kawasan pencarian seperti dipersetujui dalam perjanjian.

    “Untuk kawasan pencarian utama meliputi 5,000 kilometer persegi pertama, jika mana-mana serpihan ditemukan, Ocean Infinity akan dibayar US$20 juta, dan US$30 juta bagi kawasan pencarian sekunder berikutnya meliputi 10,000 kilometer persegi.

    “US$50 juta akan dibayar bagi kawasan pencarian peringkat ketiga merangkumi 10,000 kilometer persegi dan US$70 juta bagi kawasan pencarian tambahan yang melangkaui 25,000 kilometer persegi,” kata beliau. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Perjanjian Sambung Semula Pencarian MH370 "