• Perancang Perkahwinan Sekali Lagi Didakwa Kes Tipu Pelanggan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Pemilik syarikat perancang perkahwinan Zurin Jundi, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas 12 pertuduhan menipu lima lagi pelanggannya membabitkan kerugian berjumlah RM54,163 tahun lalu.

    Tertuduh, Zurina Ahmad Jundi, 35, dihadapkan di dua mahkamah berasingan dan mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad dan Majistret Azureen Shahira Sauffee Affandi.

    Di mahkamah pertama, tertuduh didakwa dengan tujuh pertuduhan memperdayakan mangsa sehingga menyerahkan wang tunai RM32,163 bagi pakej perkhidmatan perkahwinan ditawarkan tertuduh di sekitar Johor Bahru antara jam 2.30 petang 18 April 2017 hingga 12.30 tengah hari 31 Julai 2017.

    Di mahkamah kedua, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan penipuan membabitkan RM22,000 yang didakwa dilakukan di sekitar Shah Alam dan Johor Bahru, antara jam 7 petang pada 25 Mac 2017 hingga 2.30 petang 15 Mei 2017.

    Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Muhammad Mohd Nasir.

    Terdahulu, peguam Hannan Ishak yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon jumlah ikat jamin minimum memandangkan anak guamnya kini sudah tiada pendapatan.

    "Tertuduh juga menghidap diabetes dan kini dalam proses membayar semula wang pelanggannya, menyebabkannya sukar menjelaskan ikat jamin jika jumlah dibenarkan amat tinggi," katanya.

    Kedua-dua mahkamah itu kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pada 17 Disember lalu, wanita itu dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memperdayakan seorang pelanggannya supaya menyerahkan wang tunai RM5,000 sebagai bayaran kos upah pakej perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada Mac tahun lalu.

    Pada 20 November lalu, dia juga didakwa di mahkamah sama atas tuduhan memperdaya seorang pelanggan membabitkan RM8,500, Mei tahun lalu.

    Selain itu pada 19 Oktober lalu, dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas dua tuduhan menipu seorang pelanggan membabitkan wang RM7,000 pada Mac dan Jun lalu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Perancang Perkahwinan Sekali Lagi Didakwa Kes Tipu Pelanggan "