• Penuntut Malaysia Berpakaian 'Spiderman' Maut Jatuh Tingkat 5 Asrama

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+

    TAIPEI: Seorang penuntut Malaysia yang berpakaian ala ‘Spiderman’ dari Universiti Da-Yeh, Changhua ditemukan maut di luar bangunan asrama lelaki universiti berkenaan malam semalam.

    Mangsa yang hanya dikenali sebagai Lee Yang Hao, dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan itu, lapor agensi be­rita Central.

    Menurut polis, seorang penuntut yang melalui bangunan asrama terbabit menemukan Yang Hao terbaring tidak sedarkan diri di atas simen dan segera memaklumkan perkara itu kepada pihak universiti dan polis.

    Walau bagaimanapun, mang­sa meninggal dunia sebaik sahaja pihak polis tiba di kawasan kejadian.

    Pihak polis mengesyaki Yang Hao sedang mengambil swafoto di balkoni asramanya lalu terjatuh.

    Ini berikutan penemuan telefon bimbitnya di atas lantai balkoni tingkat lima bangunan itu.

    Salah seorang rakan sekelas mangsa memaklumkan kepada pihak polis, sebelum kejadian Yang Hao memberitahunya mahu mengambil swafoto.

    Ketua Unit Siasatan Polis Changhua daerah Yuanlin, Chan Ting-yu berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti punca sebenar kematian Yang Hao kerana tiada saksi.

    Universiti berkenaan telah meng­­hubungi keluarga mangsa di Malaysia dan sedang membuat persediaan bagi membolehkan mereka datang ke Taiwan.–Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Penuntut Malaysia Berpakaian 'Spiderman' Maut Jatuh Tingkat 5 Asrama "