• Penternak Ayam Wajib Guna Reban Tertutup Bermula 2019

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+


    BAGAN SERAI - Semua penternak ladang ayam di negeri ini diwajibkan mengguna sistem reban tertutup bermula 2019 bagi menangani masalah pencemaran terutama lalat dan bau yang dihadapi penduduk.

    Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Fuziah Muhayat berkata, mereka yang gagal menggunakan sistem itu boleh dikompaun RM2,000 mengikut Enakman Perladangan Unggas 2005, jika sabit kesalahan.

    Beliau berkata, pihaknya menubuhkan jawatankuasa bagi menangani masalah itu dalam memastikan tindakan bersepadu diambil kepada pemilik ladang yang melanggar peraturan.

    "Pemilik ladang dan penternak perlu lebih bertanggungjawab terhadap ladang masing-masing serta mengikut peraturan ditetapkan," katanya pada sidang media selepas perasmian Program Serahan Bantuan 'Touch Point' Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Gelombang Ternak Dun Alor Pongsu di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Serai di sini, hari ini.

    Majlis disempurnakan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

    Pada majlis itu, 2,000 anak ayam kampung diagihkan kepada 100 penerima terpilih dengan setiap seorang menerima 20 ekor beserta 10 kilogram dedak ayam.

    Fuziah berkata, setakat ini kira-kira 50 peratus daripada 431 ladang ayam di negeri ini telah melaksanakan sistem tersebut.

    Beliau berkata, sebanyak 147 kes melibatkan RM108,700 kompaun telah dikeluarkan ke atas pemilik ladang yang melanggar peraturan sepanjang 2011 hingga 2017 dengan Manjung mencatatkan kes tertinggi iaitu 54 kes, Kampar (34) serta Larut Matang dan Selama dengan 22 kes.

    Sementara itu, beliau berkata, garam mineral penting untuk meningkatkan produktiviti ternakan dan ayam pula boleh dipelihara bagi mendapatkan sumber telur.

    "Pemberian anak ayam tersebut adalah bagi membantu penduduk kampung mengurangkan kos sara hidup dan persiapan pada musim perayaan Aidilfitri akan datang," katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Penternak Ayam Wajib Guna Reban Tertutup Bermula 2019 "