• Peniaga Mangsa Terbaru Macau Scam - Polis Sibu

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+
    SIBU, 26 Jan (Bernama) -- Kes penipuan membabitkan "Macau Scam" di bandar ini semakin menjadi-jadi dengan mangsa terbaru peniaga berusia 61 tahun membabitkan kerugian hampir RM10,000.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata dalam tempoh 25 hari sejak awal tahun ini sehingga semalam sebanyak 30 laporan diterima membabitkan sindiket penipuan itu dengan kerugian lebih RM68,000.

    Menurutnya peniaga itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa daripada Bank Negara dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan kad kredit dengan sebuah bank berjumlah RM3,900 dan memintanya menyelesaikan tunggakan berserta bayaran denda dalam kadar segera.

    "Mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM9,800 melalui enam transaksi deposit tunai ke satu akaun sebuah bank. Setelah itu mangsa dihubungi sekali lagi dan diminta membuat tambahan bayaran berjumlah RM20,000 menyebabkan mangsa rasa tertipu," katanya.

    Menurut beliau, suspek telah memperdayakan pengadu untuk membuat bayaran tunggakan kad kredit yang tidak wujud.

    Stanley berkata daripada 30 laporan itu, enam kes membabitkan kerugian sebanyak RM68,612 manakala selebihnya tidak membabitkan sebarang kerugian.

    Menurutnya dari Januari sehingga November tahun lepas sebanyak 67 kes penipuan Macau Scam dilaporkan di Sarawak dengan nilai kerugian RM2.4 juta berbanding 50 kes dengan kerugian RM1.9 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

    -- BERNAMA
  • No Comment to " Peniaga Mangsa Terbaru Macau Scam - Polis Sibu "