• Pengerusi MPP Tak Layan Desakan DAP Minta Lepas Jawatan

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+
    KUCHING : Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang, tidak akan tunduk terhadap desakan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, supaya beliau melepaskan jawatan itu.

    Khere Chiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang berkata, beliau tidak tahu apa alasan Chieng Jen yang bersungguh-sungguh mahu beliau melepaskan jawatan yang diamanahkan kepadanya sejak tujuh tahun lalu.

    Beliau berkata, walaupun dipilih ADUN pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), tanggungjawab sebagai Pengerusi MPP tidak pernah diabaikan.

    "Malah, dua jawatan itu memberi banyak ruang untuk saya melaksanakan dasar kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan yang diamanahkan kepada saya.

    "Saya tidak tahu apa yang Chieng Jen fikirkan kerana beliau tidak memberi alasan kukuh ketika mendesak saya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MPP," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khere Chiang berkata, sebagai seorang daripada wakil rakyat dalam kawasan MPP, Chieng Jen sepatutnya memikirkan pendekatan untuk membantu penduduk di kawasan itu.

    "Saya pernah menjemput beliau dan seorang lagi wakil rakyat DAP menghadiri satu mesyuarat berhubung pelan induk untuk mengatasi masalah lalu lintas di Kota Sentosa pada 2014.

    "Beliau menerima jemputan itu dan saya meminta beliau mengemukakan cadangan, namun malangnya beliau langsung tidak memberi cadangan membina bagi mengatasi masalah itu," katanya.

    Justeru, Khere Chiang berkata, beliau enggan melayan desakan Chieng Jen kerana tumpuannya hanya untuk memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan MPP menjadi keutamaan.

    "Tahun lalu MPP melaksanakan 225 projek pembangunan dengan peruntukkan RM46 juta.

    "Kita akan meneruskan agenda kerajaan untuk mensejahterakan rakyat dan inilah tanggungjawab saya di MPP," katanya. - BHOnline
  • No Comment to " Pengerusi MPP Tak Layan Desakan DAP Minta Lepas Jawatan "