• Penganggur Didakwa Bunuh Anak Teman Wanita

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+

    KULAI: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, awal bulan ini.

    Tertuduh, S Mosas, 24, hanya mengangguk kepala selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Mohammad Salehuddin Abd Sani.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh mahkamah.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Mosas didakwa menyebabkan kematian J Paul Ebinesan di laluan Jalan Perak 1 dan sebuah rumah di Flat Temenggong, Kulai, antara jam 5.30 petang hingga 7 malam, 3 Januari lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 28 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

    Pada 3 Januari lalu, mangsa dilaporkan dihantar sendiri ibunya ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, kira-kira jam 7.30 malam dalam keadaan tidak bernafas.

    Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebelum pihak hospital menghubungi polis kerana mengesyaki dia didera.

    Hasil pemeriksaan awal mendapati ada pendarahan di kedua-dua telinga mangsa dan kesan lebam di kepala, selain kesan lebam lama di belakang badan.

    Ibu mangsa berusia 18 tahun dan neneknya, 56, ditahan pada hari kejadian di HTSMTI untuk membantu siasatan.

    Tertuduh yang dipercayai teman lelaki kepada ibu mangsa pula ditahan dua hari kemudian selepas disyaki mendera mangsa sehingga menyebabkan kematiannya.

    Ibu dan nenek mangsa yang ditahan reman 14 hari kemudian dibebaskan dan akan menjadi saksi pendakwaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Penganggur Didakwa Bunuh Anak Teman Wanita "