• Pendidikan Tinggi M’sia Tewaskan China, Jepun Dalam Penyelidikan

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+


    Sistem pendidikan tinggi Malaysia berkembang daripada kuat kepada semakin kuat apabila bukan sahaja tersenarai dalam 200 universiti terbaik di dunia, malah turut mencatatkan pertumbuhan kedua tertinggi dalam hasil penyelidikan ilmiah di rantau Asia Pasifik, menewaskan negara China dan Jepun.

    Laporan oleh Elsevier, sebuah syarikat analisis maklumat global, menyatakan antara tahun 2012 dan 2016, Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.2 peratus (%) dengan jumlah penerbitan sebanyak 133,143, berada di belakang India (8.0%) dan menewaskan Thailand (4.8%), Australia (4.6%) dan China (4.2%), yang masing-masing menduduki tangga ke-3, ke-4 dan ke-5.

    Pertumbuhan ini boleh dikaitkan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 yang memberi tumpuan kepada meningkatkan hasil penyelidikan dan kualiti.

    “Dengan 1.3% daripada KDNK mereka yang dibelanjakan untuk Penyelidikan dan Pembangunan, mereka mencapai tahap pertumbuhan yang menggalakkan dalam sektor penyelidikan, dengan empat kali peningkatan dalam jumlah rujukan, 11% pertumbuhan tahunan dalam bilangan paten dan hasil yang dijana daripada RM1.25 bilion daripada Universiti Penyelidikan Malaysia yang berfungsi sebagai penyedia penyelesaian kepada industri, agensi dan badan-badan bukan kerajaan (NGO),” kata laporan tersebut.

    Penyelidikan dalam bidang Sains Pertanian, Kejuruteraan dan Teknologi, Kemanusiaan, Perubatan dan Sains Kesihatan, Sains Semula Jadi dan Sosial Sains adalah mempunyai paling tinggi kekuatan dan impak, dan bidang-bidang penyelidikan ini amat penting "kerana ia mencerminkan cabaran global dan perasaan ingin tahu kita hari ini.”


    Kejayaan tersebut nyata menarik perhatian Datuk Seri Idris Jusoh apabila Menteri Pendidikan Tinggi itu menerusi kemaskini di laman Instagram beliau semalam melahirkan rasa bangga terhadap ahli-ahli akademik negara.

    “Kita patut berbangga dengan ahli-ahli akademik Malaysia kita,” tulisnya.

    Meskipun berlaku pengurangan peruntukan dalam sektor pendidikan tinggi pada Bajet 2016, yang mana jumlah dana berkurang sebanyak RM2.4 bilion, ahli-ahli akademik Malaysia bagaimanapun telah membuktikan daya tahan dan kemampuan mereka apabila menyaksikan peningkatan dalam penerbitan penyelidikan pada 2017 dengan jumlah 28,867 penerbitan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    Tetapi sekarang dengan peningkatan sebanyak 13.15% peruntukan yang diberikan kepada sektor pendidikan tinggi pada Bajet 2018, iaitu daripada RM12.28 bilion kepada RM13.89 bilion, ia boleh dijangka lebih banyak kajian akan dilakukan untuk terus melonjakkan nama Malaysia bukan sahaja dalam bidang akademik bahkan dalam sektor ekonomi.

    "Peruntukan bagi bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (RDC) yang akan memacu ekonomi negara ke arah Revolusi Industri 4.0 pula, meningkat hampir dua kali ganda kepada RM400 juta berbanding RM235 juta pada 2017,” kata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan seperti dilapor Bernama.

    KPT yakin dengan sokongan kerajaan, ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan tinggi dalam mencapai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50). - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Pendidikan Tinggi M’sia Tewaskan China, Jepun Dalam Penyelidikan "