• Pencalonan Tun M Langkah Ke Belakang

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pencalonan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekiranya parti pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disifatkan sebagai langkah ke belakang pakatan itu.

    Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata ketika rakyat inginkan pemimpin dalam kalangan golongan muda, pakatan pembangkang itu memilih calon perdana menteri yang kini mencapai usia 93 tahun.

    "Sebenarnya saya tidak yakin Dr Mahathir akan diangkat sebagai perdana menteri walaupun pakatan pembangkang memenangi PRU-14. Ini hanyalah helah pembangkang untuk mengaburi mata rakyat.

    "Lagipun ideologi mereka tidak sama. Mereka hanya bersama semata-mata untuk politik dan ia adalah tidak sihat untuk politik negara," katanya ketika diminta untuk mengulas pencalonan Dr Mahathir yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai calon perdana menteri.

    Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pula dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    Pencalonan bekas perdana menteri paling lama dan Wan Azizah itu diumumkan pada konvensyen Pakatan Harapan yang dihadiri pemimpin dan penyokong PKR, PPBM, DAP serta Parti Amanah Negara (PAN).

    Terdahulu, Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyampaikan ucaptama pada sesi Dialog dan Seminar Reach & Remind, Friends of Industry yang dianjurkan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

    Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk K Yogeesvaran; Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Seri Ahmad Hamzah; dan Pengerusi MPOC, Datuk Lee Yeow Chor.

    Mah berkata, walaupun gerakan yang dibawa oleh pakatan pembangkang itu untuk menghadapi PRU-14 dilihat lebih besar, namun beliau yakin rakyat akan terus memberi mandat yang lebih besar kepada Barisan Nasional (BN).

    "Sentimen rakyat dan pengundi Cina terhadap BN saya merasakan lebih baik berbanding PRU yang lepas. Jadi saya yakin rakyat akan memberi undi kepada BN dan prestasi kita juga lebih meningkat," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pencalonan Tun M Langkah Ke Belakang "