• Penarafan Kredit Bukti Ekonomi Negara Diurus Baik

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Malaysia berisiko diturunkan penarafan kredit jika ekonomi negara tidak diurus dengan baik, kata Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar.

    Beliau berkata, sekiranya penafaran kredit diturunkan, kos pinjaman akan meningkat sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

    "A- atau A3 membolehkan syarikat korporat meminjam pada tahap yang munasabah. Sekiranya kredit negara diturunkan, maka kos pinjaman akan meningkat," katanya di luar acara Invest Malaysia 2018 di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan amanat yang cukup jelas mengenai pencapaian ekonomi negara sejak 2009.

    "Apa yang telah kita (kerajaan) lakukan bukan hanya untuk pasaran yang meluas, tetapi mentadbir dengan pelbagai dasar dan langkah untuk menjadikan ekonomi negara lebih inklusif, adil dan mampan. Inilah cara kerajaan menguruskan kewangan.

    "Melihat kepada pakej yang lebih holistik, ekonomi makro, dasar monetari dan prestasi sektor korporat sangat penting dan diharapkan ia bertambah baik pada 2018 dalam usaha meningkat pendapatan, mengoptimumkan kos dan menjana lebih banyak pulangan kepada pemegang saham," katanya.

    Beliau berkata, semua pihak juga perlu mengambil langkah mengurangkan kebergantungan terhadap sumber semula jadi dan mempelbagaikan asas pendapatan.

    Mengulas mengenai prestasi kewangan PNB, Abdul Wahid berkata, syarikat pelaburan itu mencatatkan momentum positif bagi bulan pertama 2018 dan ia dijangka berterusan sepanjang tahun ini.

    "2017 adalah tahun yang sangat baik bagi Malaysia dan kesannya dapat dirasai dalam pasaran saham di mana KLCI meningkat sebanyak sembilan peratus pada tahun lalu.

    "Bagi syarikat kami, pasaran permodalan meningkat dua kali ganda. Memasuki 2018, momentum ini dijangka berterusan," katanya.

    Menyentuh mengenai prestasi ringgit, beliau menjangkakan ringgit kekal kukuh pada tahun ini disokong oleh keyakinan pelabur asing dan pengukuhan sektor perniagaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Penarafan Kredit Bukti Ekonomi Negara Diurus Baik "