• Pemuda temui ajal, motosikal rempuh tiang lampu isyarat

    Published: Saturday, 27 January 2018
    A- A+


    KUCHING - Malang menimpa seorang pemuda apabila dia menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh tiang lampu isyarat di Jalan Batu Kawa di sini pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa, Luqman Hakim Jasman, 20, (gambar) disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada kepalanya.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Bruit, Daro sedang dalam perjalanan dari arah pusat bandar raya ini menuju ke arah Batu Kawa di sini.

    Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu isyarat di bahu jalan berkenaan.

    "Kesan perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak jatuh dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah pada kepalanya.

    "Pasukan petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian selepas itu kemudian mengesahkan kematian mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

    Alexson menambah, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk tindakan lanjut.

    "Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya. K! ONLINE
  • No Comment to " Pemuda temui ajal, motosikal rempuh tiang lampu isyarat "