• Pemuda Dakwa Anak IVF Aishwarya Rai

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    SANGEETH Kumar sememangnya tidak kenali ramai, namun pemuda ini tampil mengaitkan dirinya dengan aktres terkenal Bollywood, Aishwarya Rai Bachchan.

    Berusia 29 tahun dan berasal dari Andhra Pradesh, dia mendakwa pelakon wanita itu adalah ibu kandungnya.

    Ternyata 2018 membuka tirai dengan kejutan apabila indiatoday melaporkannya menerusi wartawannya Samrudhi Ghosh.

    Sangeeth mendakwa Aishwarya melahirkannya di London pada 1988 demikian lapor Deccan Chronicle.

    Namun apa yang menarik, pada 1988, Aishwarya hanya berusia 14 tahun.

    "Saya dilahirkan menerusi kaedah IVF di London pada 1988. Saya dibesarkan di Chodavaram sejak berusia tiga tahun hingga 27 tahun.

    "Pada usia satu dan dua tahun, saya tinggal bersama keluarga nenek, Brinda Krishnaraj Raj di Mumbai. Datuk saya, Krishnaraj Rai meninggal dunia pada April 2017 dan bapa saudara saya bernama Aditya Rai," katanya kepada media di Mangaluru minggu lalu.

    Bagaimanapun, Sangeeth tidak mempunyai sebarang bukti terhadap dakwaannya.

    "Saya mahu ibu tinggal bersama saya di Mangaluru kerana sudah 27 tahun sejak saya berpisah dengan keluarga. Saya terlalu rindukan dia.

    "Saya tidak mahu ke Visakhapatnam, tetapi sekurang-kurangnya dapat menghubunginya," tambah pemuda itu lagi.

    Sangeeth juga mendakwa tidak mendedahkan perkara itu lebih awal kerana dia telah dimanipulasi oleh ahli keluarganya.

    "Ramai ahli keluarga yang telah manipulasi pelbagai perkara sejak saya kecil lagi, jika tidak sudah lama saya dapat bersama ibu. Apa yang penting sekarang adalah ibu saya," katanya.

    Sementara itu, Aishwarya kini sibuk menjalani pergambaran filem muzikal komedi yang menggandingkannya dengan Rajkummar Rao dan juga Anil Kapoor. - Mstar

    Subjects:

  • No Comment to " Pemuda Dakwa Anak IVF Aishwarya Rai "