• Pemimpin Akar Umbi Mahu Joseph Salang Dicalon Semula

    Published: Wednesday, 3 January 2018
    A- A+
    Kalangan pemimpin akar umbi mahu penyandang kerusi Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum dicalon semula pada Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) akan datang.

    Cadangan itu disuarakan Tuai Rumah Jantan Uchong, sekaligus menafikan khabar angin yang mendakwa penduduk Julau mahu Salang digantikan.

    Memetik laporan Utusan Borneo Tuai Rumah Jantan Uchong berkata, Ahli Parlimen selama empat penggal itu melakukan yang terbaik dalam memberi khidmat kepada rakyat di kawasan tersebut.

    Beliau turut menyangkal laporan media terhadap Salang sebelum ini dan menyifatkan laporan tersebut tidak mewakili suara majoriti rakyat Julau.

    “Saya percaya mereka membuat tuduhan itu atas alasan sendiri. Saya harap mereka tidak dimanipulasi individu tertentu yang mempunyai agenda tersendiri,” katanya dipetik sebagai berkata.

    Selain pembangunan fizikal, Jantan berkata, Salang berjaya mengubah minda rakyat terutama dalam menjana pendapatan lebih baik dan stabil.

    “Jika mereka peka dengan keadaan semasa, mereka melihat banyak kebun lada, kelapa sawit dan getah diusahakan dan keadaan hidup rakyat lebih baik berbanding sebelum ini.

    “Salang bersungguh-sungguh melaksanakan inisatif meningkatkan taraf hidup rakyat selain memberi geran projek kecil luar bandar (MRP),” katanya sambil menambah, MRP hampir RM1 juta diberikan oleh Salang sebelum Krismas lalu pada majlis di Rumah Jamu, Sungai Rusa.

    Menurut Jantan, Salang juga amat menekankan bidang pendidikan lebih-lebih lagi melibatkan pelajar di kawasanya dengan memberi insentif pendidikan daripada wang saku sendiri sejak 19 tahun lalu.

    “Tidak banyak pemimpin memberi insentif pendidikan ini. Sekurang-kurangnya beliau memberi inspirasi kepada pelajar untuk belajar lebih serius dan ibu bapa memasti-kan anak-anak mereka diberi pendidikan,” katanya lagi

    Justeru katanya, Salang merupakan calon terbaik bagi membantu BN mempertahan kerusi Julau. – Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Pemimpin Akar Umbi Mahu Joseph Salang Dicalon Semula "