• Pemeriksaan Harian Hasil Aduan & Maklumat Risikan Kunci Kejayaan KPDNKK

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+
    foto: Utusan Borneo
    KUCHING: Pemeriksaan secara harian hasil daripada aduan dan maklumat risikan di seluruh negeri ini menjadi kunci kepada kejayaan kita melumpuhkan kegiatan penyeludupan, demikian kata Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Abdul Hafidz Abdul Rahim.

    Menurutnya, perkara ini sekali gus memberi tekanan kepada peniaga agar mematuhi peraturan dan tidak bertindak melakukan aktiviti penyeludupan barang bersubsidi.

    Memetik laporan Berita Harian beliau berkata, sepanjang tahun 2017 KPDNKK telah melakukan pemeriksaan membabitkan 67,776 premis di seluruh Sarawak dan memberitahu akan meningkatkan lagi jumlah pemeriksaan agar kehadiran pegawai penguatkuasa terus dirasai demi kepentingan pengguna.

    "Pihak berkuasa berdepan cabaran besar untuk mewujudkan ekosistem stabil antara peniaga dan pengguna berikutan keluasan negeri ini selain kekangan jumlah penguatkuasa.

    "Bagi meningkatkan aktiviti 'memeriksa dan mengimbang' antara peniaga dan pengguna, orang ramai digalakkan menyertai Rakan KPDNKK (FOK) bertujuan menyalurkan maklumat berhubung tingkahlaku peniaga bagi menyediakan ekosistem yang seimbang agar peniaga peka terhadap perkhidmatan yang disediakan," ujarnya.

    Tambahnya, adalah penting kepada pengguna di Sarawak supaya sedar kuasa yang ada pada mereka dan tidak teragak-agak menyalurkan maklumat sekiranya melihat kesalahan peniaga sekali gus melicinkan penguatkuasaan undang-undang.

    "Selain tumpuan ke arah penguatkuasaan, pendidikan kepada peniaga menerusi ceramah dan seminar juga menjadi mekanisme penting mengekang kegiatan perniagaan tidak beretika," tegas beliau. - Sarawakiana

  • No Comment to " Pemeriksaan Harian Hasil Aduan & Maklumat Risikan Kunci Kejayaan KPDNKK "