• Pemergian Yeh Sekupang Amat Dirasai - Mamat Khalid

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Pengarah, Mamat Khalid membatalkan penggambaran supertelefilem 17 Puasa yang sepatutnya bermula semalam selepas pemergian seorang pelakonnya, Khalid Shamsuri atau Rab Khalid.

    Katanya, kehilangan pelakon yang membawa karakter Yeh Sekupang bermula dalam filem Estet dan Rumah Pusaka Di Simpang Jalan arahannya begitu dirasai seluruh produksi hingga sukar untuk dia meneruskan penerbitan drama satira itu

    "Rab bukan hanya pelakon, malah arwah yang saya kenali sejak 1999 ketika menjadi jurukamera sudah dianggap seperti keluarga sendiri. Arwah adalah kawan yang sentiasa menyenangkan semua orang.

    "Saya meminta arwah beraksi di depan kamera ketika penggambaran filem Estet, namun pada masa sama turut bertanggungjawab sebagai pembantu pengarah. Rab punya bakat tersendiri dan sejak itu, banyak filem lain yang dibintanginya.

    "Paling mengesankan apabila arwah melakonkan karakter Yeh Sekupang dalam Rumah Pusaka Di Simpang Jalan hingga saya saya mengekalkan karakter itu dalam supertelefilem arahan saya bermula 15 Puasa, disusuli 17 Puasa. Apabila arwah pergi, tiada sesiapa yang boleh menggantikan watak itu," katanya.

    Rab yang sinonim dengan filem terbitan Mamat menghembuskan nafas terakhir di Unit Penjagaan Koronari (CCU), Hospital Ampang akibat serangan jantung kira-kira jam 4.15 petang semalam. Jenazah Allahyarham yang berasal dari Parit Buntar, Perak dikebumikan di kampungnya.

    Selain Rumah Pusaka Di Simpang Jalan, watak Yeh Sekupang turut 'melekat' dalam beberapa produksi lain termasuk Hantu Kak Limah, Hussin, Mon & Jin Pakai Toncit dan Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya.

    Sementara itu, kata Mamat pihaknya kini dalam perincian menghasilkan sebuah produksi lain bagi menggantikan 17 Puasa yang sepatutnya disiarkan pada Ramadan tahun ini.

    Pada masa sama, Mamat turut berhasrat mendedikasikan filem terbarunya, Hantu Kak Limah 3 yang bakal menjengah pawagam tidak lama lagi kepada Allahyarham.

    "Arwah turut berlakon dalam filem ini yang menjadi lakonan terakhirnya. Filem itu masih dalam proses suntingan. Sepatutnya, semalam kami mulakan penggambaran 17 Puasa, tetapi ditunda selepas Rab dimasukkan ke hospital.

    "Sehari sebelum meninggal dunia, arwah sempat meluahkan kerisauan apabila penggambaran tertangguh kerana masalah kesihatannya. Saya memujuknya dan meminta arwah berehat supaya segera sihat.

    "Semalam pada jam 4 petang, saya kembali semula ke hospital untuk melawat dan keadaan kesihatan arwah semakin menurun. Namun, 15 minit selepas itu arwah disahkan meninggal dunia," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pemergian Yeh Sekupang Amat Dirasai - Mamat Khalid "