• Pembida MRT3 Seimbang

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Tender bagi projek laluan tiga MRT atau MRT3 Circle Line (MRT3) dijangka dapat diumumkan pada akhir Februari 2018 setelah tempoh berkenaan dilanjutkan kepada 15 Januari berbanding jadual asal sebelum 8 Januari ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, ini berdasarkan kepada permintaan syarikat-syarikat yang terlibat dalam bidaan itu supaya tarikh tutup bagi penyerahan tender tersebut dilanjutkan seminggu lagi.

    Setakat hari ini ujar beliau, ia menyaksikan penyertaan seimbang antara syarikat tempatan dan asing yang turut mengambil bahagian dalam tender berkenaan yang mula dibuka pada 6 November lalu.

    “Pada taklimat tender yang diadakan November lalu, ia menarik penyertaan 200 syarikat dari dalam dan luar negara dan daripada jumlah itu, 16 syarikat telah membeli borang tender ini.

    “Kita dapati penyertaan adalah seimbang iaitu 55 peratus merupakan syarikat asing dan 45 peratus syarikat tempatan (syarikat tersenarai),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Sebelum ini, tarikh asal bagi penutupan tender ini adalah pada 29 Disember 2017. Kerja-kerja pembinaan MRT3 dijangka bermula pada suku ketiga 2019.

    Dalam taklimat kepada media pada 13 November lalu, Shahril berkata, semua syarikat tempatan termasuk bumiputera layak untuk menyertai tender bagi projek MRT di bawah struktur baharu melalui kontrak siap guna atau turnkey.

    Melalui struktur tersebut, syarikat berkenaan perlu mengemukakan pakej pem­biayaan sehingga 90 peratus daripada jumlah kos MRT3 untuk sekurang-kurangnya tempoh 30 tahun bayaran semula dan dipersetujui dengan moratorium bagi lapan tahun pertama.

    Kontraktor juga perlu membina dan membiayai projek berkenaan di bawah kontrak turnkey dan pembida yang berjaya akan bertanggungjawab bagi kerja-kerja kejurute­raan, perolehan, pembinaan, pe­ngujian dan pentauliahan projek tersebut dengan laluan sepanjang 40 kilometer (km) itu.

    Syarikat yang terpilih pula harus mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja sivil sama ada dua projek metro bandar bernilai sekurang-kurangnya RM5 bilion, atau satu projek metro bandar bernilai sekurang-kurangnya RM10 bilion. Jika terpilih, syarikat tersebut dijangka membina terowong, jejambat, stesen, kerja-kerja trek, bekalan tenaga dan kerja-kerja lain berkaitan struktur untuk MRT3.

    Laluan MRT3 akan melalui kawasan berkapasiti tinggi sekitar Greater KL yang menghubungkan lebih banyak stesen sedia ada bagi melengkapkan jaringan pengangkutan awam di ibu negara termasuk rangkaian stesen daripada perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), KTM Komuter, KL Monorel serta jajaran MRT1 dan MRT2.

    Menurut Shahril, sekiranya MRT Corp. mendapati tiada syarikat yang mampu memenuhi kriteria di bawah struktur turnkey itu selepas tarikh tutup tender pada 15 Januari ini, pihaknya akan membuka semula tender kepada penggunaan DanaInfra Nasional (DanaInfra).

    Katanya, walaupun tarikh itu dilanjutkan, pihaknya komited untuk memastikan fasa pertama MRT3 dapat disiapkan menjelang Disember 2025.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pembida MRT3 Seimbang "