• Pembebasan Anwar : PH Tak Untung, BN Pun Tak Rugi

    Published: Tuesday, 9 January 2018
    A- A+


    Apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan mengenai kemungkinan pembebasan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun hadapan, perkara itu disambut dengan penuh gembira dan sorakan oleh para penyokong pembangkang khususnya PKR.

    Sebelum ini, pada 2014, Anwar telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Rayuan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan. Biarpun rayuan kemudiannya dikemukakan pihaknya di hadapan Mahkamah Persekutuan, ternyata hukuman itu dikekalkan dan beliau mula menjalani hukuman tersebut bermula Februari 2015.

    Walau bagaimanapun, mengikut kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar, Anwar akan dibebaskan pada 8 Jun 2018 iaitu dua hari lebih awal memandangkan tarikh itu merupakan hari terakhir hari bekerja pada minggu tersebut. Mengikut amalan sedia ada, mana-mana banduan yang tempoh tahanannya berakhir pada hari minggu atau kelepasan am hendaklah dibebaskan pada hari bekerja terakhir dalam minggu tersebut.

    Dalam menjalani hukuman tersebut, Anwar boleh dibebaskan lebih awal dengan remitan tempoh satu per tiga daripada keseluruhan tempoh tahanan yang dikenakan sekiranya beliau berkelakuan baik. Atas faktor tersebut, bekas timbalan perdana menteri itu tampak tidak akan berdepan dengan apa-apa masalah sebelum dibebaskan pada 8 Jun kelak.

    Ini semestinya satu berita yang baik buat para pendokong Anwar dan penyokong pembangkang secara keseluruhannya termasuklah PAS sendiri biarpun parti Islam itu tidak lagi bersama dalam blok Pakatan harapan (PH). Ini kerana, berbanding pemimpin parti pembangkang yang lain, Anwar sendiri mempunyai hubungan yang agak baik dengan PAS baik sebelum ataupun selepas parti serpihan AMANAH ditubuhkan. Sedikit sebanyak, pembebasan Anwar pada Jun kelak memberikan nafas dan semangat baru buat pembangkang yang sehingga kini nampak begitu terpecah dan cukup lesu dalam aspek kepimpinan pakatan mereka.

    Pembebasan Anwar Pengaruhi Tarikh PRU-14?

    Sebaik sahaja berita mengenai kemungkinan pembebasan Anwar pada Jun kelak tersebar luas, maka ramailah rakyat dan pemerhati mula mencongak sekiranya pembebasan ini, jika berlaku seperti yang dijangkakan, mampu mempengaruhi iklim politik semasa negara sekaligus menjadi faktor penentu tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak.

    Dalam keseronokan dan keterujaan penyokong PH menyambut berita mengenai pembebasan tokoh de facto mereka itu, mereka juga perlu menyedari hakikat bahawa bebasnya Anwar nanti tidak bermakna beliau boleh terus kembali aktif berkecimpung dalam politik. Biarpun Anwar berkemungkinan besar dibebaskan pada Jun nanti, beliau sebenarnya perlu menjalani satu lagi bentuk ‘hukuman’ lain yang menegah dan melarang beliau daripada terlibat dalam sebarang aktiviti dan kegiatan politik selama lima tahun setelah dibebaskan.

    Ini bermakna, biarpun kembali menjalani kehidupan sebagai seorang rakyat biasa, Anwar nampaknya hanya sekadar mampu menjadi pemerhati kepada pertarungan politik tanah air. Jika PRU ke-15 kelak diadakan lebih awal daripada tempoh ‘matang’ lima tahun setelah pembentukan kerajaan pasca PRU-14 kelak, maka Anwar tampak tidak akan mempunyai sebarang peluang untuk kembali berpolitik dalam tempoh dua PRU yang akan datang iaitu sehinggalah tahun 2023 melainkan pengampunan ke atasnya diberikan melalui saluran undang-undang yang sedia ada.

    Fakta dan hakikat ini sedikit sebanyak mengurangkan keresahan kem Barisan Nasional (BN) dan penyokong mereka. Atas dasar itu juga, pembebasan Anwar pada Jun nanti diyakini tidak akan memberi sebarang kesan signifikan kepada mana-mana pihak, baik PH mahupun BN. Tambahan pula, tarikh pembebasan tersebut – Jun 2018 -, hanya dibezakan dengan jarak dua bulan dari tarikh akhir PRU-14 yang perlu diadakan iaitu pada Ogos 2018. Dalam masa yang sama, rakyat dan orang ramai juga perlu menimbang kemungkinan bahawa PRU-14 juga berkemungkinan besar diadakan pada bila-bila masa sahaja sebelum Anwar dibebaskan. Dalam erti kata lain, pembebasan Anwar ini tidak memberikan sebarang bentuk tekanan kepada perdana menteri dalam isu penentuan tarikh pembubaran Parlimen dan pengendalian PRU.

    Kehadiran Semula Anwar Beri Kesan Kepada Mahathir

    Apa pun, seperti yang telah disebutkan, kembalinya Anwar kepada kehidupan seorang rakyat biasa setidak-tidaknya memberikan satu bentuk ‘persaingan’ terhadap pengaruh bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blok pembangkang. Umum mengetahui bahawa sepanjang ketidakberadaan Anwar dalam memimpin pakatan tersebut, Mahathir nyata telah berjaya menggunakan aura dan pengaruhnya dalam mengepalai dan mengemudi PH. Dalam tempoh tersebut, para penyokong dan pendokong pembangkang yang sekian lama tercari-cari pemimpin yang mempunyai pengaruh dan kredibiliti setanding Anwar nampaknya seolah-olah tidak mempunyai pilihan selain menyandarkan harapan mereka terhadap Mahathir, sosok tubuh yang pernah mereka tentang secara keras tidak lama dahulu.

    Biarpun berdepan larangan untuk kembali berpolitik, kehebatan pengaruh Anwar dalam kalangan penyokong dan pendokong Anwar tidak boleh dipertikaikan. Situasi ini juga mungkin membuahkan penentangan terhadap pengaruh Mahathir secara senyap oleh para penyokong yang sekian lama melihat Anwar sebagai satu-satunya pemimpin pembangkang yang konsisten dan boleh dipercayai. Mahathir kini telah disepakati oleh komponen PH sebagai calon perdana menteri mereka sekiranya pakatan itu berjaya ‘menakluk’ Putrajaya pasca PRU-14 kelak. Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira agenda peribadi Mahathir untuk menjatuhkan Najib, sejauh mana pengaruh bekas perdana menteri itu dalam mengimbangi faktor ‘kehadiran’ semula Anwar adalah sesuatu yang sangat menarik untuk diperhatikan.

    Campur Tangan Luar

    Sepanjang Anwar menjalani tempoh tahanan, Malaysia tidak sunyi daripada tekanan dan campur tangan luar khususnya Amerika Syarikat (AS) yang bersungguh-sungguh menekan kerajaan agar segera membebaskan bekas timbalan perdana menteri itu. Kata AS, Anwar hanyalah tahanan politik dan hukuman yang dikenakan ke atas beliau adalah satu bentuk perlanggaran terhadap hak asasi manusia. Maka dengan pembebasan Anwar pada Jun nanti, kita mengharapkan AS ‘berpuas hati’ serta berhenti daripada mencampuri urusan dalaman negara lain, dan dalam masa yang sama menghentikan kepura-puraan mereka dalam kononnya menjuarai isu hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, memandangkan Anwar perlu juga menjalani tempoh larangan berpolitik selama lima tahun, rakyat boleh menjangkakan campur tangan berterusan AS dalam hal ini.

    Harapan Kepada Permulaan Politik Matang

    Bebasnya Anwar pada Jun nanti sedikit sebanyak mampu mencorakkan bentuk hubungan yang bakal mengambil tempat antara BN dengan PH. Ketika UMNO dilihat sudah kembali ‘baik’ dengan PAS, ramai yang melihat bahawa Anwar juga mampu mempengaruhi PH untuk mengambil pendekatan yang lebih matang dalam ‘permusuhan politik’ mereka dengan BN. Sebagai orang lama dalam politik tanahair, Anwar tampak sebagai pemimpin dan ‘musuh politik’ yang jauh lebih rasional berbanding bekas mentornya Mahathir. Pertemuan empat mata antara beliau dengan Najib, baik sebelum dan ketika beliau menjalani hukuman penjara nyata memperlihatkan bentuk kematangan tersebut.

    Lawatan Najib ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menziarahi Anwar sewaktu pemimpin de facto pembangkang itu menjalani rawatan baru-baru ini juga boleh dijadikan satu manifestasi jelas mengenai perkara itu. Maka kita mengharapkan, sejajar dengan perjalanan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju, politik kita turut bertambah matang tanpa mengira siapa pun yang bakal membentuk kerajaan pasca PRU kelak. Dengan pengaruh yang masih utuh dalam kem PH, Anwar boleh memainkan peranan ke arah mencapai matlamat tersebut dengan memberikan nasihat dan panduan berguna kepada pakatan itu disebalik larangan ke atas penglibatan aktif beliau dalam politik. - MalaysianAccess

    Subjects:

  • No Comment to " Pembebasan Anwar : PH Tak Untung, BN Pun Tak Rugi "