• Pembantu Restoran, Rakan Didakwa Bunuh Ketua Kongsi Gelap

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+


    JOHOR BAHRU - Seorang pembantu restoran dan rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ketua kongsi gelap di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi pada Disember tahun lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Yip Kah Hou, 24, dan Gan Jia Ji, 20, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.


    Mengikut kertas pertuduhan, Jia Ji yang berasal dari Taman Johor Jaya di sini didakwa bersama-sama lima lagi yang masih bebas melakukan pembunuhan menyebabkan kematian seorang lelaki, Tan Aik Chai, 44.

    Kah Hou yang bekerja pembantu restoran pula didakwa bersama-sama tiga lagi suspek yang masih bebas melakukan persubahatan jenayah dengan Jia Ji serta lima lagi suspek yang masih bebas menyebabkan kematian terhadap Aik Chai.

    Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di kawasan stesen minyak Shell, Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini pada pukul 7.30 malam, 17 Disember 2017.

    Kedua-dua suspek tidak membuat sebarang pengakuan.

    Jia Ji didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan dibacakan bersama Seksyen 34 akta yang sama.

    Kah Hou turut dituduh mengikut Seksyen 302 KK dibacakan bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dihukum mati.

    Kes dikendalikan oleh Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala Kah Hou diwakili peguam bela, Chuah Shyue Chien.

    Jia Ji pula tidak diwakili peguam.

    Siti Hajar menetapkan 13 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan bedah siasat. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Pembantu Restoran, Rakan Didakwa Bunuh Ketua Kongsi Gelap "