• Pemandu Teksi Ugut ‘Alih Sokongan’ Kepada Tun M

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Lebih daripada 5,000 pemandu teksi seluruh negara dijangka akan mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan rasa tidak puas hati dengan kerajaan yang didakwa tidak mendengar ‘keluh kesah’ mereka selama ini.

    Wakilnya yang juga pengasas teksi premium Big Blue Taxi Service, Datuk Shamsubahrin mendakwa, pihaknya kecewa dengan ‘layanan’ segelintir pihak berwajib termasuk menteri dalam menangani isu teksi.

    Menurutnya, kerajaan ‘manipulasi’ isu pelaksanaan kawalselia bagi perkhidmatan e-hailing seperti Grabcar dan Uber sebagai satu perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang.

    Jelas Shamsubahrin, tanpa pelaksanaan undang-undang terhadap Uber dan Grab, ianya banyak menjejaskan kepada industri teksi.

    “Semua hanya bercakap sahaja, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri degan megahnya berkata Malaysia mencatatkan sejarah sebagai negara pertama menjadikan perkhidmatan e-hailing sebagai satu perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang.

    “Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula kata sudah dilaksana dan tidak perlu tunggu untuk digazetkan. Kita mahu tahu, bila dilaksana dan apakah bentuk undang-undang untuk pemandu-pemandu e-hailing ini? Tolong jangan asyik cakap sahaja.

    “Kami kecewa, sehingga hari ini, keluh kesah pemandu teksi langsung tidak diendahkan. Sekurang-kurangnya hampir 60,000 pemandu teksi terjejas pendapatan dengan teruk setakat ini. Kita tidak haling Grab atau Uber tetapi mengapa tiada undang-undang untuk mereka patuhi? Seperti teksi. Mereka bebas berbuat apa sahaja.

    “Kami sebulat hati untuk mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir kerana mungkin beliau mahu mendengar permasalahan kami dan mungkin boleh membantu kami. Kami tidak mendapat bantuan seperti yang didakwa oleh kerajaan. Malah surat-surat yang dihantar kepada kementerian tertentu juga tidak berbalas sejak tahun lalu, sudalah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

    Jelas Shamsubaharin, hampir 10,000 buah teksi berwarna biru dan merah akan berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya Jumaat ini.

    “Hajah Nancy juga ada keluarkan kenyataan kononnya syarikat saya mengenakan caj sebanyak RM5 setiap perkhidmatan teksi di KLCC. Itu bukan sahaja pembohongan malah fitnah. Saya telah menghantar surat peguam untuk beliau memohon maaf secara terbuka atau akan berdepan dengan tindakan saman.

    “Tiong Lai pula baru sekarang kata pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan, sebelum ini surat yang dihantar sejak April tidak berjawab pun.

    “Saya rasa dulu, segala permasalahan yang dihadapi oleh industri teksi, kita ada Datuk Seri Nazri Aziz untuk dengar dan laksana. Beliau yang terbaik setakat ini, mohon ambil alih kembali portfolio ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " Pemandu Teksi Ugut ‘Alih Sokongan’ Kepada Tun M "