• Pelancong dapat bayaran balik VAT Arab Saudi

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 3 January 2018
    A- A+
    JEDDAH 3 Jan. - Kerajaan Arab Saudi menerusi Pihak Berkuasa Zakat dan Cukai (GAZT) mengumumkan pelancong yang melawat negara tersebut bakal mendapat bayaran balik melalui pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang mula diperkenalkan di negara itu kelmarin.

    Menurut laporan agensi berita tempatan Arab Saudi, Pengarah Pusat Operasi VAT GAZT, Hamoud Al-Harbi berkata, pihaknya sedang merencana mekanisme terbaik bagi memulangkan kembali VAT yang dikenakan kepada pelancong.

    Walau bagaimanapun, beliau berkata, proses berkenaan tidak mungkin akan dilaksana dalam masa terdekat kerana terdapat pelbagai perkara yang sedang diteliti.

    “Peraturan eksekutif VAT telah meluluskan supaya cukai tersebut dikembalikan kepada pelancong yang berbelanja ke atas produk yang dikenakan VAT.

    “Namun, mekanisme tersebut akan diputuskan kemudian kerana kami masih menjalankan proses, peraturan dan cara pembayaran yang sesuai. Sebagai contoh, ada sesetengah negara menyatakan berapa jumlah yang perlu dikembalikan, jika kurang daripada 100 euro (RM485.21) ia tidak dibayar semula,” katanya.

    Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memulakan VAT yang bersamaan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar lima peratus bermula 1 Januari 2018 serta menaikkan tarif elektriknya.

    Negara berkenaan turut menaikkan harga petrol sehingga 126 peratus hasil penstrukturan subsidi bahan apinya, dalam mengatasi kepincangan kedudukan fiskal negara itu disebabkan harga minyak yang rendah.

    Pada 20 Disember lalu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud secara rasmi mengumumkan hasrat negara itu untuk mengurangkan lebihan perbelanjaan dilewatkan kepada tahun 2023 daripada sasaran awal pada 2020, untuk mengurangkan tekanan terhadap ekonomi negaranya.

    VAT atau GST dipraktikkan di lebih 160 negara seluruh dunia sebagai satu daripada sumber pendapatan terbaik kepada belanjawan sesebuah negara.

    Pelaksanaan cukai berkenaan walau bagaimanapun telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna di Arab Saudi disebabkan peningkatan harga barangan selepas pelaksanaan cukai eksais ke atas barangan tembakau dan minuman bergula juga mula diperkenalkan pada tahun 2016.

    Kebanyakan rakyat Arab Saudi dan UAE membuat keputusan untuk memuat naik resit pembelian barangan termasuk minuman kopi ke laman media sosial yang jelas menunjukkan peningkatan harga disebabkan VAT. - AGENSI/Utusan

    Subjects:

  • No Comment to " Pelancong dapat bayaran balik VAT Arab Saudi "