• Pelakon lelaki dipanggil beri keterangan lepaskan tembakan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+


    SERI ISKANDAR - Seorang pelakon lelaki hari ini dipanggil polis untuk memberi keterengan bagi membantu siasatan berhubung kes melepaskan dua das tembakan ke udara pada Julai dua tahun lalu.

    Ia berikutan video pelakon tersebut, Hairul Azreen Idris, 30, berdurasi 48 saat itu tular di laman sosial YouTube sejak tiga hari lalu.

    Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian melepaskan tembakan tersebut berlaku di belakang rumah bapa saudara Juara Fear Factor Celebrity itu di Kampung Parit Jerman, Sitiawan pada Julai 2016.

    "Menerusi video tersebut, Hairul Azreen dilihat melepaskan dua tembakan menggunakan senapang patah milik bapa saudaranya yang dilesenkan untuk membunuh musuh tanaman.

    "Dia dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut kerana kita khuatir video tersebut boleh mencetuskan persoalan dan kebimbangan kepada masyarakat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak di sini hari ini.

    Tambah Mohamad Zainal, senjata senapang patah jenis SK500 tersebut dan 29 butir peluru penabur hidup dirampas bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 8, 39 dan 41 Akta Senjata Api 1960. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Pelakon lelaki dipanggil beri keterangan lepaskan tembakan "