• Pelajar Tingkatan Empat Maut Dirempuh Van

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Seorang pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh van dalam kejadian di Kilometer 4, persimpangan Jalan Kebun Teh - Jalan Tun Razak, berhampiran Danga City Mall, di sini hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari, itu mangsa yang lengkap dengan pakaian sekolah dikenali sebagai Muhammad Haikal Ahmad, 16, beralamat dari Taman Cempaka, dekat sini, dipercayai dalam perjalanan pulang dari sekolah.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa dari arah bandar raya dipercayai hendak membelok ke Jalan Kebun Teh Lama, manakala van dari arah Skudai.

    "Motosikal dan van itu bertembung di tempat kejadian dan akibat perlanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala pemandu van berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

    Shahurinain berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), untuk bedah siasat.

    Berkaitan dengan viral telefon bimbit mangsa diambil orang, beliau berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan dan waris mangsa turut mengesahkan mangsa memiliki telefon bimbit.

    Sementara itu, seorang saksi yang dikenali sebagai Harry Cyclone yang memuat naik kejadian itu dalam Facebook (FB) mendakwa pemandu van itu melanggar lampu isyarat sebelum merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.

    Katanya, apa yang menyedihkan lagi ialah seorang lelaki dipercayai penagih dadah, berpura-pura membantu mangsa untuk memeriksa telefon bimbit mangsa sebelum melarikan telefon berkenaan.

    "Kejadian berlaku di depan Danga City Mall berhampiran persimpangan lampu isyarat. Mangsa itu pelajar SMK Aminuddin Baki.

    "Kami di tempat kejadian membantu budak itu dan pada masa sama seorang lelaki tiba-tiba seperti memeriksa telefon bimbit mangsa kononnya untuk menghubungi keluarganya sebelum terus melarikan diri. Apa jenis manusia macam ini," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pelajar Tingkatan Empat Maut Dirempuh Van "