• Pelabur Minat Prospek Bina Jambatan

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+

    LABUAN: Minat pelabur ke pulau bebas cukai ini kembali meningkat selepas kerajaan mengumumkan untuk memulakan kajian pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah.

    Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, berkata ia termasuk pembinaan Premium Outlet Bebas Cukai pertama di negara ini yang dijangka dimulakan bulan depan.

    Beliau berkata, langkah itu secara tidak langsung menambahkan tarikan di Labuan sebagai tempat beli belah untuk menggamit lebih ramai pengunjung termasuk pelancong asing.

    "Ketika ini ribuan pelancong terutama dari China, Taiwan dan Korea datang ke Labuan dan mereka cukup tertarik dengan keindahan pulau ini.

    "Bagaimanapun, mereka kata walaupun bertaraf bebas cukai, tiada tempat membeli-belah.

    "Sehubungan itu, kita perlu mewujudkan tarikan baharu di Labuan khususnya yang bersesuaian dengan statusnya sebagai pulau bebas cukai," katanya pada Majlis Pelancaran Kerangka Pembangunan Labuan 2030 (LDB2030) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dataran Labuan, hari ini.

    Yang turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

    Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.

    Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berkata, pembangunan pulau bebas cukai ini turut menumpukan usaha menjadikannya destinasi sukan lasak.

    Katanya, antara projek sukan lasak akan dilaksanakan dengan kerjasama swasta ialah litar lumba mini di Tanjung Kiamsam dan Labuan Grand Prix Of The Sea di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

    Beliau berkata, projek itu adalah antara rancangan pembangunan fasa kedua Labuan selepas 33 tahun menjadi Wilayah Persekutuan.

    "Dalam fasa pertama, Labuan berjaya dijadikan Pusat Kewangan Antarabangsa dan Hab Logistik Minyak dan Gas, selain pembangunan infrastruktur termasuk bangunan mercu tanda Ujana Kewangan dan penaiktarafan Lapangan Terbang Labuan dan kampus cawangan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    "Sekarang kita mahu masuk fasa kedua dengan perancangan cukup rapi dan strategik. Itu sebabnya kita menyiapkan LDB 2030 serta Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (LBFC)," katanya.

    Menerusi perancangan fasa kedua itu, katanya, pembangunan Labuan lebih dipacu pihak swasta yang merangkumi pelabur dalam dan luar negara. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Pelabur Minat Prospek Bina Jambatan "