• Pejuangan 20 Tahun Penduduk Kampung Sampadi, Sg Limo Tuntut NCR Mendapat Pembelaan Kerajaan BN Sarawak

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+

    LUNDU: Perjuangan selama 20 tahun penduduk Kampung Sampadi dan Kampung Sg Limo untuk mendapatkan hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) akhirnya menemui jalan kemenangan selepas mendapat surat pemakluman kelulusan tanah.

    Kegusaran yang membelenggu penduduk dua kampung tersebut selama ini mendapat perhatian dan pembelaan daripada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Bermula Julai tahun lepas, perjuangan penduduk dua kampung tersebut mula mendapat perhatian Wan Junaidi seterusnya rundingan selama empat bulan dijalankan bersama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bersama penduduk kampung.

    Hasil rundingan tersebut, Wan Junaidi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Jamilah Anu berjumpa dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mendapatkan perincian mengenai perkara berkenaan.

    Abang Johari akhirnya bersetuju untuk meluluskan tanah di Kampung Sampadi dan Kampung Sg Limo diisytiharkan sebagai Tanah Rizab Kampung Di Bawah Seksyen 7 Kanun Tanah Negeri Sarawak.

    Ketua Kampung (KK) Kampung Sampadi, Ambi Uri yang gembira dengan pengisytiharaan itu berkata, keputusan dibuat ketua menteri akan memastikan hak milik tanah kampung lebih terjamin dan terpelihara untuk generasi akan datang.

    Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sg Limo, Goh Kim Chong pula melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ketua menteri, Wan Junaidi dan Jamilah kerana membuat keputusan yang berpihak kepada penduduk kampung.

    Sementara itu, Wan Junaidi menjelaskan, keputusan itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak yang dipimpin Abang Johari memberi keutamaan kepada masa depan dan kebajikan rakyat.

    "Terima kasih kepada YAB Ketua Menteri di atas keprihatinan dan keputusan yang amat menggembirakan ini.

    "Saya berharap penduduk kampung memberi kerjasama kepada JTS semasa kerja perimeter dijalankan nanti bagi memastikan proses mewarta tanah sebagai tanah rizab kampung dapat dibuat dengan segera," katanya.

    Petang tadi, Setiausaha Politik Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie menyerahkan surat pemakluman kelulusan tanah kepada wakil penduduk Kampung Sampadi dan Kampung Sg Limo di Masjid Kampung Sampadi.-Sarawakiana





  • No Comment to " Pejuangan 20 Tahun Penduduk Kampung Sampadi, Sg Limo Tuntut NCR Mendapat Pembelaan Kerajaan BN Sarawak "