• Peguam tarik diri, bicara bela diri kes Kevin Morais ditangguh

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Perbicaraan hari pertama prosiding membela diri kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang mana mayatnya disumbat di dalam dram dan disimen 3 tahun lalu, hari ini ditangguhkan kerana peguam mewakili tertuduh menarik diri.

    Peguam Chua Li Li memaklumkan mahkamah beliau serta rakan sejawatannya M Manoharan yang mewakili tertuduh R Dinishwaran, 26 dan A K Thinesh Kumar, 25, menarik diri kerana tidak mendapat arahan lanjut daripada kedua-dua anak guam mereka untuk meneruskan kes.

    “Kami menarik diri daripada mewakili tertuduh, mohon perbicaraan ditangguh bagi memberi peluang untuk kedua-dua tertuduh melantik peguam baharu,” katanya yang turut menyebut bagi pihak Manoharan yang tidak hadir pada prosiding hari ini.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah menangguhkan perbicaraan sehingga esok bagi membolehkan kehadiran peguam baharu.

    Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin tidak membantah permohonan peguam itu namun bertanyakah siapakah peguam baharu berkenaan dan seorang daripada tertuduh memaklumkan nama peguam akan diketahui esok kerana pelantikan peguam diuruskan oleh keluarga.

    Pada prosiding itu, peguam Datuk N Sivananthan mewakili Kolonel Dr R Kunaseegaran, 55 manakala peguam V Rajehgopal mewakili M Vishwanath, 28, S Nimalan, 25, dan S Ravi Chandaran, 47.

    Pada 20 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan keenam-enam tertuduh membela diri atas pertuduhan membunuh Kevin Morais selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

    Kunaseegaran, Dinishwaran, Thinesh Kumar, Vishwanath, Nimalan dan Ravi Chandaran didakwa membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul, ke No 1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7.00 pagi dan 8.00 malam, 4 September 2015.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan di dalam dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

    Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk ke Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Peguam tarik diri, bicara bela diri kes Kevin Morais ditangguh "